AM

KERAJAAN KOMITED TINGKAT BILANGAN SYARIKAT MILIK USAHAWAN WANITA - TENGKU ZAFRUL

10/06/2025 10:36 PM

KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Bilangan syarikat milik usahawan wanita di Malaysia masih kurang berbanding di negara ASEAN lain iaitu hanya sekitar 20 peratus atau 210,000 syarikat daripada jumlah keseluruhan perusahaan di negara ini.

Justeru, Kerajaan melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan berusaha meningkatkan peratus berkenaan melalui pelbagai program dan dasar baharu, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz. 

“Dalam membantu wanita mengakses pasaran luar negara secara lebih berkesan, kerajaan komited untuk menyediakan fasiliti perdagangan seperti MADANI Digital Trade, Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) dan juga misi perdagangan ke pelbagai negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Forum Women in Export (WiEX) 2025, di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata inisiatif yang dilaksanakan itu terbuka kepada usahawan wanita yang ingin meneroka pasaran antarabangsa, termasuk pasaran sedang pesat membangun seperti negara-negara Asia Barat, Afrika dan Eropah Timur, yang mempunyai permintaan tinggi terhadap produk Malaysia.

Selain itu, katanya, MATRADE juga sentiasa memantau penyertaan usahawan wanita dalam pameran antarabangsa dan misi perdagangan luar negara untuk memastikan mereka mampu menjadi pengeksport yang berdaya saing di persada antarabangsa.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata penglibatan hanya 30 hingga 35 peratus wanita Asia dalam sektor ekonomi menunjukkan bahawa masih ada potensi besar yang belum diteroka sepenuhnya.

“Justeru, bagi membantu syarikat milik wanita dalam pasaran eksport, MATRADE memperuntukkan 40 peratus daripada geran eksport bernilai RM14.89 yang kami salurkan kepada 6,711 permohonan, kepada syarikat dikendalikan wanita,” katanya pada majlis tersebut.

Mengenai penganjuran WiEX, beliau berkata, forum itu merupakan wadah penting sebagai ruang pertemuan untuk memperkasa wanita dalam ekosistem eksport dan bermula 2026, forum berkenaan akan dikenali sebagai Women International Exporters Expo.

“Forum WiEX ini telah menjadi platform yang sempurna untuk meraikan dan mengiktiraf usahawan wanita yang ingin menempa nama di arena antarabangsa.

“Semua ilmu, inspirasi dan strategi yang telah dikongsi hari ini adalah hadiah berharga yang boleh menjadi panduan dalam perjalanan masing-masing,” katanya.

Justeru itu, Reezal Merican berkata, MATRADE telah melancarkan e-direktori yang menjadi jambatan untuk menghubungkan produk dan perkhidmatan yang disediakan syarikat milik wanita.

“Platform ini menjadi showcase kepada dunia tentang kehebatan produk dan perkhidmatan yang dihasilkan oleh wanita Malaysia. Ia akan memudahkan kerjasama perniagaan, membina rangkaian antarabangsa dan yang paling penting, memberikan akses terus kepada pasaran global.

“Inisiatif ini selaras dengan Dasar Wanita Negara 2025-2030 dan matlamat pembangunan mampan, menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kerajaan memperkasakan wanita dalam sektor perdagangan,” katanya.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga UMNO Malaysia (HAWA) Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan