KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Negeri Perak akan dilaksanakan secara berskala besar di Lumut Waterfront dari 13 hingga 15 Jun ini, dengan menawarkan lebih 200 perkhidmatan secara langsung kepada orang ramai.
Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) Kementerian Komunikasi Mano Verabathran berkata antara perkhidmatan disediakan oleh agensi persekutuan dan kerajaan Perak itu ialah Jualan MADANI yang menawarkan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus bagi barangan keperluan harian.
“Pengunjung digalakkan mengambil peluang untuk membeli barangan harian dengan harga berpatutan. Selain itu, terdapat sesi temu duga terbuka yang melibatkan 10 syarikat daripada pelbagai sektor dengan lebih 1,000 jawatan ditawarkan. Mereka yang sedang mencari pekerjaan amat dialu-alukan untuk hadir,” katanya ketika menjadi tetamu program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV, hari ini.
Beliau berkata sebanyak 36 reruai disediakan sepanjang program tiga hari itu bagi membolehkan pengunjung mendapatkan perkhidmatan secara langsung daripada pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan negeri Perak.
“PMR ini merupakan usaha berterusan kerajaan mendekatkan dasar dan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat, serta membina keyakinan terhadap hala tuju negara.
“Ia juga memberi peluang kepada rakyat untuk berurusan secara langsung dengan pelbagai agensi kerajaan di bawah satu bumbung,” katanya.
Untuk edisi 2025, PMR dilaksanakan dalam dua skala iaitu skala besar dan skala kecil. Program berskala besar pertama berlangsung di Majlis Perbandaran Tawau, Sabah dari 9 hingga 11 Mei lalu dan berjaya menarik kehadiran seramai 192,000 pengunjung.
“Perak menjadi lokasi kedua bagi penganjuran PMR skala besar, hasil kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) Pejabat Perdana Menteri selaku sekretariat induk dan Kementerian Pendidikan Tinggi sebagai kementerian peneraju,” katanya.
PMR 2025 di Lumut Waterfront akan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad, program akan berakhir pada 6 petang. Reruai perkhidmatan kerajaan pula hanya beroperasi sehingga 6 petang setiap hari.
Dengan tema “Pendidikan Tinggi, Pemacu Negara MADANI”, program ini turut menampilkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran, serta sesi perkongsian ilmu dan informasi.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar hadir ke Program MADANI Rakyat di Perak dan menyaksikan majlis penutupan program itu yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad ini.
-- BERNAMA