AM

REBUT PELUANG KUNJUNGI MEMORIAL NEGARAWAN SECARA PERCUMA

09/06/2025 10:59 PM

PUTRAJAYA, 9 Jun (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) mengalu-alukan orang ramai untuk mengunjungi 10 Memorial Negarawan yang dibuka secara percuma sepanjang tahun.

KPN dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara memorial itu ialah Memorial Tunku Abdul Rahman Putra dan Memorial Tun Abdul Razak di Kuala Lumpur, Memorial Tun Abdul Ghafar Baba di Melaka, Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang dan Rumah Merdeka di Kedah.

Kemasukan secara percuma bertepatan dengan tema sambutan Minggu Arkib Antarabangsa 2025, iaitu ‘Arkib Boleh Diakses, Arkib Untuk Semua’.

“Tema ini juga sangat bertepatan dengan aspirasi kerajaan MADANI untuk memastikan sejarah dan dokumen negara dapat diakses dengan mudah oleh semua lapisan masyarakat.

“Inisiatif ini bertujuan merakyatkan sejarah dan mendekatkan masyarakat khususnya generasi muda dengan warisan kepemimpinan negara,” menurut kenyataan itu.

KPN memaklumkan pihaknya menyokong penuh inisiatif Arkib Komuniti dan dokumentasi tempatan termasuk sejarah lisan masyarakat Orang Asli, etnik Sabah dan Sarawak serta minoriti budaya yang membantu memperluas naratif sejarah negara agar lebih inklusif dan adil.

“Sempena Minggu Arkib Antarabangsa ini, marilah kita bersama-sama memanfaatkan khazanah sejarah negara, menyemai rasa cinta tanah air dan memperkukuh semangat perpaduan melalui penghayatan kepada perjuangan masa lalu,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata peranan Arkib Negara Malaysia (ANM) sebagai penjaga memori bangsa yang bukan hanya menyimpan sejarah negara malah menyatukan naratif semua komuniti di negara ini.

“Ia bermula daripada perjuangan kemerdekaan, pembinaan negara sehingga kepada usaha memperkukuh integrasi nasional hari ini. 

“Tanpa ANM, sejarah akan hilang, identiti akan kabur dan perpaduan akan pudar. Justeru, kita mesti terus menyokong institusi arkib dan memperkasakan nilai sejarah sebagai milik semua,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan