AM

SEORANG LAGI JEMAAH HAJI MALAYSIA MENINGGAL DUNIA DI TANAH SUCI

07/06/2025 03:37 PM

MINA, 7 Jun (Bernama) -- Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci semalam menjadikan jumlah keseluruhan lapan kematian setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kematian kelapan melibatkan seorang jemaah lelaki Abd Yazid Matt, 65, disebabkan serangan jantung di Hospital Pakar Al Noor, Makkah.

"Allahyarham yang berasal dari Kangar, Perlis berlepas menerusi KT100 dan menginap di Maktab 82, Al Olayan Al Haram, Makkah meninggal dunia kira-kira 11.22 malam.

"Saya dimaklumkan bahawa Allahyarham sempat menunaikan wukuf di Arafah, menandakan bahawa rukun hajinya telah sempurna, insya-Allah," katanya kepada petugas media selepas melawat khemah penginapan jemaah haji Malaysia di sini hari ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) telah menghubungi waris kepada jemaah serta akan mengurus sepenuhnya segala keperluan berkaitan pengurusan jenazah dan kebajikan jemaah yang terlibat.

Mohd Na’im bersama seluruh barisan pengurusan tertinggi TH merakamkan ucapan takziah kepada waris serta ahli keluarga arwah dan mendoakan rohnya dicucuri rahmat selain diterima segala niat mengerjakan rukun Islam kelima itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan