KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaksanakan Op Lancar bermula pada hari ini hingga Isnin (9 Jun) bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan aliran trafik lancar sepanjang cuti Aidiladha yang akan disambut esok.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata sebanyak 1,858 pegawai dan anggota PDRM akan digerakkan ke lokasi yang dijangka mengalami kesesakan susulan orang ramai pulang ke kampung dan kembali ke rumah masing-masing.
Beliau berkata seluruh jentera JSPT akan diatur gerak secara menyeluruh dan bersistematik bagi mengurangkan beban kesesakan trafik di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri serta jalan bandaran.
“Pengguna jalan raya diminta sentiasa peka dengan informasi terkini mengenai aliran trafik menerusi media sosial rasmi JSPT yang dapat membantu masyarakat merancang perjalanan masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yusri turut menyeru orang ramai supaya menjadi pengguna jalan raya yang berhemah dan mematuhi peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, tidak menyalahgunakan lorong kecemasan dan tidak meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan yang boleh mengundang kemalangan,” katanya.
Beliau berkata menerusi penugasan Op Lancar, JSPT komited untuk memastikan masyarakat dapat meraikan sambutan Aidiladha dalam suasana sejahtera dan selamat sepanjang perjalanan, serta kerjasama orang ramai penting bagi memastikan keselesaan serta keselamatan semua pengguna jalan raya.
-- BERNAMA