Oleh Rosemarie Khoo
KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat, menjejaki penurunan semalaman di Wall Street, apabila sentimen kalangan pelabur terjejas ekoran perbalahan berterusan antara Presiden AS Donald Trump dan ahli perniagaan Elon Musk.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.78 mata kepada 1,515.34 daripada 1,518.12 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 1.21 mata lebih rendah kepada 1,516.91.
Lingkungan pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 207 berbanding 84 manakala 243 kaunter tidak berubah, 1,812 kaunter tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.
Jumlah dagangan 119.92 juta unit bernilai RM70.92 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata perhatian diberikan kepada panggilan telefon Presiden China Xi Jinping-Trump, yang dianggap “sangat baik" oleh Trump, dan pertemuan antara mereka mungkin diadakan tidak lama lagi.
Sebaliknya, data pekerjaan AS terkini menunjukkan pasaran buruh yang kurang memberangsangkan apabila hasil Perbendaharaan AS berjangka 10 tahun sedikit naik kepada 4.39 peratus.
Di Hong Kong, Indeks Hang Seng terus meningkat apabila sentimen pelabur dirangsang oleh Indeks Pengurus Pembelian (IPP) China bagi Mei yang mengatasi konsensus sekali gus meredakan kebimbangan terhadap kelembapan ekonomi.
Di pasaran tempatan, FBM KLCI hampir mencecah paras 1,520 semalam, mungkin disebabkan oleh pembelian saham yang lebih agresif oleh institusi tempatan.
“Kami terkejut dengan minat belian yang kukuh secara tiba-tiba ini selepas prestasi hambar sepanjang bulan lepas.
“Bagi hari ini, kami menjangkakan indeks berlegar dalam julat 1,515 hingga 1,530,” katanya kepada Bernama.
Antara saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals dan Press Metal Aluminium masing-masing turun 5.0 sen kepada RM3.31 dan RM4.98, Sime Darby kurang 2.0 sen kepada RM1.73, YTL Corp menguncup 2.0 sen kepada RM2.01 dan Tenaga Nasional merosot 8.0 sen kepada RM14.12.
Antara saham aktif, Green Packet dan Avangaad masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 28 sen, Jaks Resources turun setengah sen kepada 10.5 sen, Autocount Dotcom susut 11 sen kepada RM1.07 dan Thriven Global kurang 2.5 sen kepada 10.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 22.75 mata kepada 11,340.08, Indeks FBMT 100 susut 21.90 mata kepada 11,0106.46 dan Indeks FBM ACE menguncup 21.99 mata kepada 4,496.15.
Indeks FBM Emas Syariah turun 29.32 mata kepada 11,311.42, manakala Indeks FBM 70 susut 37.93 mata kepada 16,245.38.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kurang 8.92 mata kepada 17,730.65, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.99 mata kepada 151.13, Indeks Perladangan susut 6.01 mata kepada 7,213.37 namun, Indeks Tenaga meningkat 0.27 mata kepada 708.88.
-- BERNAMA