SHAH ALAM, 5 Jun (Bernama) -- Polis Selangor menerima sebanyak 101 laporan kes penipuan pelaburan mesin layan diri kopi, dengan jumlah kerugian RM6.7 juta dalam tempoh Januari hingga April lepas.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata siasatan awal mendapati mangsa telah diberi penerangan dan representasi mengenai pelaburan mesin layan diri yang ditawarkan suspek, kononnya menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau berkata mangsa yang tertarik kemudiannya menyertai program pelaburan itu dan membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
“Pada peringkat awal, mangsa ada menerima sedikit keuntungan, namun selepas beberapa ketika, mereka tidak lagi memperoleh sebarang pulangan. Malah, tidak diketahui sama ada pelaburan tersebut benar-benar wujud atau sebaliknya.
“Kertas siasatan telah dibuka bagi semua kes yang melibatkan sebuah syarikat pembekal meisn layan diri dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein berkata kertas siasatan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan dibuat bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan di bawah jenayah penipuan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengandu untuk mengambil tindakan saman sivil bagi mencabar pelanggaran kontrak perjanjian yang ditandatangani dengan syarikat pelaburan tersebut dan mendapatkan kembali wang yang dilaburkan.
Hussein mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran-tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.
“Sebarang semakan, nasihat atau aduan boleh disalurkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997,” katanya.
-- BERNAMA