KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan orang ramai mengenai penipuan pelaburan baharu melibatkan versi klon Daftar Awam Pemegang Lesen dan Individu Berdaftar SC.
Dalam kenyataan hari ini, SC berkata kaedah menipu pelabur ini melibatkan pihak tidak bertanggungjawab secara palsu mendakwa mewakili entiti yang kononnya dilesenkan oleh badan kawal selia itu.
Menurutnya bagi menyokong dakwaan berkenan, bakal mangsa diarahkan untuk ke laman web yang meniru portal Daftar Awam rasmi SC.
“Apabila mangsa memasukkan nama entiti palsu dalam laman web klon ini, hasil carian akan menunjukkan entiti palsu itu dilesenkan secara sah oleh SC. Penyenaraian palsu termasuk nombor pendaftaran syarikat, butiran lesen dan bukti kelayakan yang direka lain.
“Mangsa kemudian dipujuk untuk memindahkan dana dalam akaun bank keldai yang didakwa untuk tujuan pelaburan,” katanya.
Menurut SC, sejak penemuan penipuan pelaburan baharu ini, ia telah mengambil langkah segera untuk menurunkan laman web klon yang dikenal pasti.
“Bagaimanapun, SC menggesa orang ramai untuk berwaspada dan jangan sekali-kali klik pada mana-mana pautan yang diterima daripada sumber yang tidak dipercayai,” katanya.
Ia turut mengingatkan pelabur supaya menggunakan Daftar Awam rasmi SC secara terus di www.sc.com.my untuk mengesahkan kesahihan entiti.
“Pelabur juga diingatkan untuk mengelak daripada memindahkan dana dalam akaun bank entiti mencurigakan, yang mungkin merupakan akaun keldai yang digunakan oleh penipu.
“Jika mempunyai sebarang keraguan atau mengenal pasti laman web atau skim pelaburan mencurigakan, hubungi pejabat pengguna dan pelabur SC di talian 03-6204 8999 atau e-mel aduan@seccom.com.my,” katanya.
-- BERNAMA