PETALING JAYA, 4 Jun (Bernama) – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini mempengerusikan Forum Ilmuwan Malaysia MADANI (FIM) Siri 6 yang membincangkan isu berkaitan pengangkutan awam.
Forum yang berlangsung di Menara Prasarana di sini membincangkan topik “Pengangkutan untuk Rakyat: Mengimbangi Antara Kemampuan Rakyat, Kualiti dan Kemampanan Pengangkutan Awam”.
Ahli panel terdiri daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad Mohd Azharuddin Mat Sah serta Naib Canselor Universiti Putra Malaysia Datuk Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah.
FIM Siri 6 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menjadi platform interaktif untuk membincangkan cabaran dan pendekatan strategik ke arah memperkukuh sistem pengangkutan awam negara yang inklusif, mampu milik dan lestari.
Dalam forum tersebut Anwar mendengar pandangan ahli panel serta hadirin mengenai keperluan menambah baik rangkaian perkhidmatan awam terutamanya dalam menangani isu kesesakan, kebolehpercayaan dan akses golongan berpendapatan rendah.
Forum itu adalah sebahagian daripada pendekatan Malaysia MADANI yang mengangkat peranan ilmu dan wacana terbuka dalam membentuk dasar serta pembangunan negara secara lebih holistik.
FIM yang dianjurkan secara berkala itu menggabungkan pandangan pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, akademia dan pihak berkepentingan industri dalam memperkasakan dasar awam berteraskan prinsip kesejahteraan rakyat dan kelestarian jangka panjang.
-- BERNAMA