IPOH, 4 Jun (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak menahan sebuah lori membawa 66 ekor babi di Kilometer 195.5 Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) berhampiran Lekir, Manjung, awal pagi tadi.
Pengarah JPV negeri Dr Saifullizam Abd Kadir berkata lori dipercayai dari Pulau Pinang itu ditahan pada 3.20 pagi dalam operasi bersama Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Kami mengekori lori itu dari Plaza Tol Lekir sejauh 10 kilometer sebelum pemeriksaan menemukan lori bertutup kanvas itu membawa babi tersebut tanpa sebarang kebenaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mereka turut menahan pemandu lori yang berusia 46 tahun dan nilai rampasan termasuk kenderaan digunakan dianggarkan RM170,000.
Dalam kes berasingan, Dr Saifullizam berkata JPV Perak dan JPV cawangan Baling, Kedah menggagalkan cubaan memindahkan 10 ekor lembu secara haram menggunakan lori dipandu lelaki berusia 26 tahun dalam Op Korban Mega di Gerik, sekitar 10 malam semalam.
Beliau berkata setakat ini, JPV Perak berjaya mematahkan empat cubaan memindahkan ternakan tanpa kebenaran menerusi pelaksanaan operasi itu sempena sambutan Aidiladha.
Siasatan dua kes itu dijalankan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM15,000, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA