Oleh Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah
Andai "berlengah-lengah" itu ibarat mencuri masa, maka sifat "malu-malu" terhadap agenda Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China umpama kealpaan yang tidak sewajarnya! Sesungguhnya, ASEAN perlu memimpin, bukan sekadar menunggu kerana Malaysia berada dalam kedudukan terbaik untuk melaksanakan agenda berkenaan.
Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045 menggariskan satu visi yang bercita-cita tinggi – sebuah ASEAN yang bukan hanya melakar kemajuan malah menjadi pusat pertumbuhan Indo-Pasifik – namun aspirasi ini tidak dapat direalisasikan secara bersendirian. Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, perjalanan ASEAN “adalah kisah kerjasama merentasi sempadan, dialog merentasi perbezaan dan harapan merentasi generasi.” Maka, untuk muncul sebagai enjin pertumbuhan global ia bergantung kepada sejauh mana ASEAN mampu mempelbagaikan hubungan ekonomi, termasuk dengan GCC dan China.
Kenyataan bersama sidang kemuncak tiga pihak dan deklarasi bersama ASEAN-GCC mengenai kerjasama ekonomi menandakan satu langkah penting ke hadapan. Kedua-dua dokumen ini meletakkan asas kepada satu penyatuan yang berpotensi mengubah acuan perdagangan serantau dan sinergi ekonomi sedia ada menerusi tiga landasan yang saling berkait: Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA) 3.0, FTA ASEAN-GCC, dan FTA China-GCC.
Setiap perjanjian ini bergerak pada kadar berbeza-beza. ACFTA 3.0 hampir selesai, dengan memasukkan bab-bab baharu mengenai perdagangan digital, persaingan, ekonomi hijau dan kepaduan kawal selia. Sementara itu, FTA China-GCC hampir dimuktamadkan selepas menjalani rundingan sejak sekian lama. FTA ASEAN-GCC pula masih di peringkat kajian kebolehlaksanaan dan akan memulakan rundingan dalam masa terdekat. Ini memberikan peluang unik kepada ASEAN dan GCC untuk mengambil iktibar daripada struktur dan kandungan dua rundingan lain, serta merangka satu perjanjian yang mampu merapatkan inisiatif terdahulu. Perkembangan ini sebenarnya berupaya memberi banyak kelebihan kepada ASEAN sekali gus menjadikannya nadi utama dalam rangka kerja perdagangan baharu.
Apa yang sering terlepas pandang ialah hakikat bahawa ini bukan usaha dua hala yang terasing antara satu sama lain. Sebaliknya, ia membentuk satu struktur yang tersusun menghubungkan Asia Tenggara, GCC dan China – tiga blok ekonomi paling dinamik di dunia. Rangka kerja ini mampu mengukuhkan lagi sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan yang menurut Anwar kini sedang berdepan “pelbagai sekatan perdagangan yang dikenakan sewenang-wenangnya.” Ia juga mampu menawarkan kepastian dan kebolehramalan yang lebih kukuh kepada pelabur, serta menginstitusikan peranan ASEAN sebagai teras dalam perkembangan perdagangan global.
Logik ekonomi ini amat meyakinkan. Pada 2022, GCC ialah rakan dagang ketujuh terbesar ASEAN dengan jumlah perdagangan mencecah USD130.7 bilion, dan dijangka berkembang pada kadar 30 peratus setahun. Perdagangan ASEAN-China pula melebihi USD722 bilion, menjadikan China rakan dagang terbesar ASEAN selama 14 tahun berturut-turut. Hubungan ini sememangnya sudah pun kukuh – kekurangannya hanyalah koheren strategik yang dilihat boleh ditangani secara tuntas melalui konfigurasi FTA tiga pihak.
Perjanjian ini perlu mengandungi komitmen substantif dalam sektor pertumbuhan utama seperti kewangan Islam, ekonomi digital, dan tenaga boleh baharu yang menawarkan manfaat bersama dan pulangan jangka panjang. Pengenalan elemen itu dalam FTA mampu merintis suatu pembaharuan daripada perjanjian perdagangan konvensional, dan mewujudkan perkongsian yang lebih inovatif. Selain itu, kerjasama dalam penyelesaian mata wang, pembayaran rentas sempadan, dan pertalian dana kekayaan negara boleh mengukuhkan lagi ketahanan kewangan.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN telah pun mengorak langkah. Kita giat berusaha supaya ACFTA 3.0 dapat dimuktamadkan lebih awal, menyediakan garis masa yang jelas untuk rundingan FTA ASEAN-GCC, serta merintis pembentukan mekanisme tetap untuk menyelaras pelbagai landasan perdagangan secara strategik. Selain itu, penubuhan majlis perniagaan serantau boleh memastikan penyelarasan sektor swasta, membolehkan pemain industri menikmati manfaat daripada perubahan topografi ekonomi.
Walaupun beberapa Ketua Negara GCC tidak menyertai sidang kemuncak itu, kehadiran delegasi GCC sudah memadai untuk mencerminkan kesungguhan. Kehadiran Perdana Menteri China Li Qiang pula jelas menunjukkan komitmen China.
Seandainya gambar sudah cukup untuk mengungkapkan segala-galanya, maka penampilan para pemimpin ASEAN, GCC dan China, benar-benar menyerlahkan gambaran yang menakjubkan!. Namun, hanya dengan perbincangan substantif dan komitmen yang jitu, barulah keterlibatan seperti ini akan memacu ASEAN untuk merebut peluang yang ada.
Pendekatan lapuk tidak mampu untuk membentuk dekad mendatang. Ia hanya akan mampu dibentuk oleh pihak yang berupaya mengharungi jurang, membina kerangka yang kukuh, dan mendukung multilateralisme dengan semangat yang jitu. Perdagangan tiga pihak yang menghubungkan ASEAN, GCC dan China bukan sekadar aliran perdagangan – ia pertaruhan strategik demi satu aturan serantau yang lebih padu, berasaskan orde dan limpahan peluang.
"Bola" sudah berada di gelanggang ASEAN. Selaku pengerusi, Malaysia perlu berani menyahut cabaran.
-- BERNAMA
Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah ialah Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.
(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi BERNAMA)