Daripada Nurliyana Farah Ruslan
MAKKAH, 3 Jun (Bernama) -- Meskipun ibadah Haji Ifrad menuntut lebih kesabaran, pengorbanan, dan disiplin jiwa yang tinggi, terdapat jemaah haji Malaysia memilih untuk melaksanakan jenis ibadah itu sebagai suatu bentuk pengabdian diri terhadap Allah SWT.
Penggiat teater dan Pensyarah Kanan di Jabatan Drama, Fakulti Seni Kreatif, Universiti Malaya Dr Rosdeen Suboh, 52, adalah antara segelintir jemaah yang memilih menunaikan Haji Ifrad berbanding majoriti 31,600 jemaah Malaysia yang lain memilih melaksanakan Haji Tamattuk.
Rosdeen berkata pemilihan untuk menunaikan Haji Ifrad bukan sahaja atas dasar kefahaman beliau terhadap perbezaan jenis-jenis haji, tetapi juga sebagai satu bentuk cabaran rohani dan kawalan diri yang ingin dilalui sepenuhnya.
Haji Ifrad, Haji Qiran dan Haji Tamattuk merupakan tiga jenis haji yang dibenarkan dalam Islam. Haji Ifrad menuntut jemaah mendahulukan ibadah haji, sebelum melaksanakan umrah selepas selesai menunaikan semua rukun dan wajib haji dalam bulan-bulan haji (Syawal hingga Zulhijjah).
Rosdeen berkata meskipun Haji Ifrad menuntut jemaah kekal dalam ihram lebih lama berbanding Haji Tamattuk, keputusan melaksanakan haji itu dibuat dengan penuh tekad sebaik sahaja berada di dalam pesawat menuju ke Tanah Suci.
“Saya nak alami pengalaman itu (Haji Ifrad), berada dalam keadaan ihram, kekal menjaga larangan, dan selesaikannya hingga akhir … saya akan berada dalam ihram kira-kira 17 hari," katanya ketika ditemui media di sini baru-baru ini.
Berkongsi cabaran yang perlu dihadapinya sepanjang berihram, Rosdeen mengakui hatinya sedikit terusik apabila melihat jemaah lain yang menunaikan Haji Tamattuk sudah kembali berpakaian biasa dan lebih selesa.
“Itu antara cabaran besar bagi saya apabila melihat orang lain sudah selesa, saya pula masih perlu tidur dan menjalani aktiviti harian dalam pakaian ihram dan banyak perkara perlu dijaga dengan rapi. Alhamdulillah, saya telah bercukur sebelum berniat ihram dan memulakan Haji Ifrad,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi jemaah Hilmi Hatta, 44, berkata pelaksanaan Haji Ifrad memberi peluang untuk beliau kekal dalam keadaan ihram sepanjang tempoh lebih dua minggu sekali gus membantunya menjaga amalan dan menjauhkan diri daripada kelalaian.
“Setiap masa kita perlu memakai ihram, nak sidai baju, turun ke kafe, semuanya dalam ihram. Apabila lihat jemaah lain berpakaian biasa, memang ada rasa tergugat, tetapi niat kena kuat, azam kena teguh. Itu yang membezakan cabaran ini dengan ibadah biasa,” katanya.
Hilmi yang tiba di Tanah Suci pada 23 Mei lepas bersama isteri, Noorhazlina Noordin berharap haji yang dikerjakan mereka itu mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan mampu menjaga pantang larang ihram selama 16 hari.
“Harapan saya supaya segala amalan sepanjang menunaikan Haji Ifrad ini diterima Allah SWT. Saya juga berdoa agar tidak melanggar sebarang larangan ihram, dan segala yang saya lakukan berada dalam batas yang ditetapkan. Paling utama, saya berharap agar kami dikurniakan haji yang mabrur,” kata bapa kepada tiga anak itu.
-- BERNAMA