MANJUNG, 1 Jun (Bernama) -- Karnival Kita MADANI X Program MADANI Rakyat Negeri Perak yang berlangsung di Arena Square, Taman Samudera di sini menjadi platform berimpak tinggi dalam menyampaikan maklumat serta perkhidmatan kerajaan secara langsung kepada rakyat.
Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata karnival yang berjaya menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan golongan itu, bertujuan memperluaskan pemahaman rakyat terhadap dasar dan inisiatif kerajaan menerusi pendekatan turun padang untuk lebih dekat dengan masyarakat.
Beliau berkata 21 agensi kerajaan dan swasta menyertai karnival itu melibatkan antaranya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Lembaga Hasil Dalam Negeri.
“Antara pengisian utama karnival ialah Jualan Rahmah dan Agro MADANI, pameran serta penyampaian perkhidmatan pelbagai agensi kerajaan, pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma, pertandingan mewarna, sukan rakyat serta kenduri rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Karnival Kita MADANI x Program MADANI Rakyat Negeri Perak di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia Rubaayah Osman dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin.
Nik Kamaruzaman berkata penganjuran karnival itu juga merupakan usaha mempromosi Program MADANI Rakyat (PMR) peringkat Negeri Perak yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Lumut Waterfront dekat sini, pada 13 hingga 15 Jun ini.
Beliau memaklumkan program yang akan dilaksanakan itu nanti bakal berkonsepkan karnival dan penyampaian perkhidmatan meliputi tujuh komponen teras yang akan memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Ini (PMR) membuka ruang kepada rakyat berinteraksi secara terus dengan pelbagai agensi kerajaan, mendapatkan khidmat nasihat, mendaftar bantuan, menyuarakan maklum balas dan menyertai pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun,” katanya.
Beliau berkata program yang akan diadakan itu nanti turut dilihat sebagai cerminan kepada nilai Malaysia MADANI yang dibina atas semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab bersama.
-- BERNAMA