KUCHING, 31 Mei (Bernama) -- Peningkatan peruntukan pembangunan luar bandar dalam belanjawan Sarawak tahun ini mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri untuk merapatkan jurang bandar dan luar bandar serta memastikan pertumbuhan yang seimbang.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata peruntukan RM6.8 bilion menerusi Belanjawan Sarawak 2025 bagi pembangunan luar bandar iaitu meningkat daripada RM5.695 bilion pada tahun lepas, jelas menunjukkan komitmen Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam meningkatkan kesejahteraan komuniti luar bandar.
Dalam perutusan sempena sambutan Gawai Dayak yang akan bermula esok (1 Jun), Uggah berkata tumpuan terhadap pembangunan luar bandar menyaksikan pelaksanaan projek jambatan utama sebagai pemangkin pertumbuhan
“Lima (jembatan) telah siap dibina termasuk Jambatan Batang Saribas 1 di Pusa, Betong dan jambatan ikonik lain seperti Bintulu Jepak, Muara Lassa, Marudi dan Batang Rajang.
“Enam lagi termasuk jambatan di sungai terpanjang di negara ini, Batang Lupar 1 dijangka siap menjelang akhir tahun ini,” kata Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan negeri.
Beliau berkata Gawai Dayak seharusnya diterima sebagai perayaan yang mampu merapatkan hubungan antara kaum di Sarawak, yang selama ini menjadi asas penting kepada kemajuan berterusan negeri ini.
“Sebagaimana jambatan yang menghubungkan bandar dan kampung kita, sambutan Gawai ini juga menjadi ‘jambatan’ untuk memperkukuh ikatan persahabatan, perpaduan, dan keharmonian dalam kalangan rakyat. Marilah kira raikan kepelbagaian ini dalam semangat 'Segulai Sejalai’ atau ‘Bersatu dalam Perpaduan’,” katanya.
-- BERNAMA