KUCHING, 1 Jun (Bernama) -- Siapa sangka alunan lagu tradisional "Det Diet Tapong Kitan” yang bergema di luar pintu masuk Majlis Rumah Terbuka Hari Gawai Dayak 2025 di sini hari ini adalah hasil petikan sape oleh sekumpulan anak muda yang mahu memelihara muzik warisan itu agar tidak ditelan zaman.
Mengenakan pakaian bermotifkan Orang Ulu, tiga sekawan daripada Persatuan Anak Seni Sape Kuching (PUSAK) itu kelihatan rancak memetik sape hingga menarik perhatian tetamu pada majlis yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).
Berketurunan Kayan-Cina, Dexter Wong Kian Hao, 22, berkata lagu itu lazimnya dimainkan bagi menyambut tetamu pada majlis keramaian.
“Lagu ini juga sering mengiringi tarian Datun Julud atau Ajai, iaitu tarian pahlawan masyarakat Orang Ulu,” katanya yang mula mengenali dunia sape sejak berusia 15 tahun.
Martinus Njok Sebi, 23, berketurunan Kenyah-Iban berkata dia menyertai PUSAK sejak 2021 dan kemudian aktif membuat persembahan di pelbagai acara.
“Sebagai pemain sape, saya harap semakin ramai khususnya golongan muda akan menunjukkan minat untuk mempelajari dan mewarisi alat muzik ini,” kata pelajar tahun akhir Universiti Malaysia Sarawak itu.
Bagi pelajar jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Mohd Ikhmal Hakim, 19, pula dia mempelajari cara bermain sape seawal 10 tahun menerusi media sosial seperti Youtube dan Facebook.
Anak kelahiran Belaga itu berkata dengan kewujudan pelbagai platform media sosial, ia memudahkan orang ramai mengenali alat muzik Orang Ulu berkenaan, seterusnya menanam minat untuk memetik sape.
“Sekarang memang ada perbezaan kerana makin ramai anak muda terutamanya sudah kenal sape dan minat dengan alat muzik ini. Saya lihat peranan media sosial penting untuk mempromosi budaya ini… saya sendiri menghasilkan video bermain sape melalui TikTok,” katanya yang berketurunan campuran Melayu, Iban dan Sekapan.
Majlis rumah terbuka kali ini yang dianjur pemimpin Orang Ulu telah dihadiri kira-kira 3,000 pengunjung daripada pelbagai latar belakang kaum.
Program bermula 9 pagi hingga 2 petang itu turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Dr Abang Johari Tun Openg dan isteri Puan Sri Juma’ani Tuanku Bujang serta barisan Menteri Persekutuan dan negeri.
-- BERNAMA