EKONOMI

PERTUMBUHAN KDNK MALAYSIA BERPOTENSI NAIK KEPADA 4.6 PERATUS JIKA TARIF AS DIBATALKAN - MIDF 

30/05/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berpotensi meningkat kepada 4.6 peratus berbanding 4.0 peratus pada unjuran awal, sekiranya tarif perdagangan menyeluruh Amerika Syarikat (AS) dimansuhkan, kata MIDF Amanah Investment Bank Bhd. 

Menerusi unit penyelidikannya, MIDF Research berkata kebimbangan yang mereda terhadap tarif timbal balik serta permintaan yang lebih menggalakkan dari AS dijangka menyokong prestasi dagangan luar negara Malaysia, terutamanya dalam sektor produk elektrik dan elektronik.

“Aktiviti pengeluaran juga dijangka bertambah kukuh sejajar dengan pemulihan permintaan luaran, selain terus disokong oleh pertumbuhan berterusan dalam penggunaan domestik.

“Dengan prospek perdagangan yang lebih cerah, kami mengunjurkan tambahan pertumbuhan kira-kira +0.6 mata peratusan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

MIDF turut menjelaskan bahawa jika tarif timbal balik dihapuskan dan tidak lagi menjadi faktor dalam kos import, pihaknya menjangkakan prospek perbelanjaan penggunaan di AS akan menjadi lebih positif.

“Penurunan kos import akan mengurangkan risiko pelepasan kos kepada pengguna, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap inflasi yang tinggi.

“Ini akan meningkatkan sentimen pengguna dan menggalakkan perbelanjaan yang lebih tinggi. Dalam senario ini, kami menganggarkan pertumbuhan KDNK AS boleh meningkat kepada 1.8 peratus pada 2025, berbanding anggaran asas semasa iaitu 1.4 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, MIDF berkata risiko penurunan masih wujud, terutama jika ketegangan perdagangan kembali meningkat. 

“Selain mencabar keputusan mahkamah perdagangan antarabangsa, kerajaan AS juga mungkin memperkenalkan lebih banyak sekatan perdagangan melalui langkah bukan tarif.

“Walaupun langkah-langkah sebegini mungkin membantu mengurangkan defisit perdagangan AS, ia bagaimanapun kurang menyokong usaha penstrukturan fiskal berbanding tarif tradisional atau levi,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Perdagangan Antarabangsa AS memutuskan bahawa tarif yang diumumkan oleh Presiden Donald Trump adalah tidak sah.

Seperti dijangka, pentadbiran Presiden Trump mencabar keputusan tersebut dan berjaya mendapatkan keputusan mahkamah rayuan persekutuan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan mahkamah lebih rendah.

Ini bermakna, tarif berkenaan masih berkuat kuasa sementara proses rayuan diteruskan. Pentadbiran Trump juga telah memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan Persekutuan bahawa ia akan memohon “bantuan kecemasan” daripada Mahkamah Agung seawal Jumaat sekiranya keputusan penangguhan tidak diberikan segera.

MIDF berkata walaupun tarif tersebut berkemungkinan dimansuhkan selepas semua proses undang-undang dimuktamadkan, terdapat pelbagai kaedah lain yang masih boleh digunakan oleh Presiden Trump untuk meneruskan agendanya.

Ini termasuk menggantikan tarif sedia ada, menyiasat amalan perdagangan tidak adil, meluaskan tarif atas nama keselamatan negara serta mengenakan tarif anti-diskriminasi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan