Oleh Rohana Nasrah
KOTA KINABALU, 30 Mei (Bernama) -- Pesta Kaamatan, perayaan etnik terbesar diraikan di Sabah sepanjang Mei, menjadi lubuk rezeki buat Norhayati Ajirul apabila kedai jahit baju tradisi diusahakannya di sini tidak pernah sunyi dengan kehadiran pelanggan.
Ruangan kecil kedai jahit yang turut menjadi butik menjual pelbagai aksesori serta baju tradisi suku kaum Sabah itu bukanlah menjadi ukuran, namun kualiti jahitan serta kekemasan sulaman manik berjaya menambat hati pelanggan yang bukan hanya datang untuk membeli baju siap dijahit, tetapi juga membuat tempahan.
Wanita berketurunan Bajau dari Kudat berusia 52 tahun itu tidak menang tangan menerima tempahan baju tradisi dan kini menyinsing lengan untuk menyiapkan semua tempahan berkenaan dibantu oleh lima pekerja.
“Tempahan baju tradisi ini sepanjang tahun, tetapi apabila tiba musim Kaamatan memang tempahan lebih banyak, tidak menang tangan. Alhamdulillah, baju (siap dijahit) juga habis (dijual). Ada pelanggan tetap dan pemborong tempatan.
“Waktu bekerja semasa Kaamatan juga berbeza berbanding hari biasa. Saya buka kedai dari 7 pagi hingga 9 malam menyiapkan tempahan. Seminggu atau dua minggu sebelum (acara kemuncak) Kaamatan memang betul-betul sibuk, tidak boleh rehat,” kata tukang jahit itu kepada Bernama.
Norhayati berkata mereka boleh menyiapkan sebanyak lima baju tradisi dalam sehari, dengan setiap pasang mengambil masa antara dua hingga lima jam bergantung pada rekaan.
Katanya, harga setiap busana ditetapkan mengikut saiz dan rekaan dengan baju tradisi kanak-kanak dijual pada harga RM100 hingga RM150 sehelai manakala baju dewasa RM500 hingga lebih RM2,000.
Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang itu, Norhayati berkata ia bermula kerana minat dengan keunikan baju tradisi etnik Sabah selain berpengalaman sebagai jurujual dan tukang jahit di sebuah butik sebelum ini.
Ibu kepada empat cahaya mata itu tidak menghadiri sebarang kursus kemahiran menjahit, sebaliknya belajar sendiri selain membuat rujukan daripada akhbar tempatan memaparkan peserta Unduk Ngadau yang memperagakan pakaian etnik daerah masing-masing.
“Pelbagai cabaran dalam menghasilkan baju tradisi seperti sulaman dan menjahit manik. Kita mesti tahu kedudukan dan cara pasang baju tradisi setiap daerah termasuk coraknya.
“Baju tradisi Sabah ada keunikan tersendiri. Sangat cantik. Sulaman dan manik perlu dijahit dengan teliti. Saya menjahit hari-hari, tetapi tidak jemu dan tidak bosan kerana ia membuat saya senang hati,” katanya yang berharap dapat mengembangkan lagi perniagaannya.
Sementara itu, Anisa Baqeera, 22, yang merupakan anak bongsu Norhayati berkata dia membantu mempromosikan baju tradisi dari kedai jahit ibunya melalui media sosial bagi menarik lebih ramai pelanggan terutama dalam kalangan generasi muda.
Bagi Mohd Nazllie Zainul, 32, adalah amat penting setiap generasi muda Sabah mengetahui tentang pakaian tradisi etnik di negeri itu supaya keunikan nilai estetika serta motif rekaannya tetap terpelihara seterusnya diwarisi pada masa akan datang.
“Sekurang-kurangnya generasi muda tahu, jika dia berbangsa Kadazan Dusun, dia mesti tahu jenis baju tradisi yang dipakai dan aksesori yang perlu dipadankan dengan baju itu.
“Saya suka menggayakan baju tradisi etnik lain dan kebetulan saya memang minat fesyen. Saya suka baju tradisi etnik Sabah kerana cantik dan unik. Manik dan penggunaan kain berwarna-warni. Ia ada aura tersendiri,” kata wartawan berketurunan Bajau itu.
Sebagai pelanggan tetap, Mohd Nazllie berpendapat kedai jahit baju tradisi seumpama itu tidak hanya membantu usahawan menjana pendapatan, tetapi juga mampu memartabatkan seni budaya etnik “Negeri di Bawah Bayu” sekali gus menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara.
Peniaga makanan Farradiah Awang Bahari, 44, berkata dia membeli baju tradisi etnik Sabah di butik itu untuk anaknya yang akan menyambut Pesta Kaamatan di sekolah, dan menurutnya pendedahan perlu diberikan seawal usia agar golongan muda dapat merasai serta menghargai keindahan budaya mereka.
-- BERNAMA