Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi berikutan terdapat minat belian baharu, menjejaki prestasi semalaman Wall Street yang positif, kata penganalisis.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.28 mata kepada 1,519.26 daripada 1,518.98 pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi 2.24 mata kepada 1,521.22.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 223 berbanding 112 manakala 243 kaunter tidak berubah, 1,816 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 181.05 juta unit bernilai RM112.83 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran kekal tidak menentu berikutan kejayaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengekalkan tarif melalui keputusan mahkamah rayuan AS, yang akan dibawa ke Mahkamah Agung untuk menghalang keputusan asal mahkamah persekutuan.
“Dalam ketidaktentuan yang berterusan mengenai tarif, hasil Perbendaharaan AS untuk tempoh 10 tahun susut kepada 4.426 peratus,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata aliran keluar asing telah melebihi RM330 juta pada minggu ini sahaja dan terus meningkat.
“Walaupun asas ekonomi kekal kukuh, kami menjangka jualan baru-baru ini mungkin berulang disebabkan aliran semula dana ke pasaran Hong Kong.
“Hari ini, kami menjangka terdapat aktiviti belian saham pada harga rendah jika dan apabila indeks hampir kepada paras 1,500, justeru, dijangka diniagakan antara 1,510 dan 1,525,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB, masing-masing mendatar pada RM9.87 dan RM6.88 manakala Public Bank meningkat dua sen kepada RM4.33. Tenaga merosot empat sen kepada RM14.04 dan IHH Healthcare berkurangan lapan sen kepada RM6.83.
Dalam dagangan aktif, Velesto, SM Track dan TA Win, masing-masing mendatar pada 18.5 sen, satu sen dan dua sen. Nationgate meningkat sembilan sen kepada RM1.53 manakala Dagang Nexchange merosot setengah sen kepada 29 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 17.49 mata kepada 11,364.84, Indeks FBMT 100 merosot 17.26 mata kepada 11,124.76 dan Indeks FBM ACE susut 10.02 mata kepada 4,582.14.
Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 33.19 mata kepada 11,332.64 manakala Indeks FBM 70 merosot 101.64 mata kepada 16,230.66.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 26.67 mata kepada 17,921.24, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 0.04 mata kepada 153.06, Indeks Tenaga berkurangan 0.53 mata kepada 707.65 manakala Indeks Perladangan susut 1.41 mata kepada 7,292.54.
-- BERNAMA