KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke majlis bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda di Masjid Muadz Bin Jabal, Setiawangsa di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 5.20 petang disambut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Turut hadir bersama kira-kira 600 jemaah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Majlis bacaan Yasin dan Doa Selamat yang bermula 5.25 petang itu dipimpin Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.
Selepas selesai majlis itu, Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa menyantuni jemaah sebelum berangkat pulang.
Majlis hari ini merupakan sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Sultan Ibrahim pada Isnin ini, yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 20 Julai 2024.
Esok khutbah khas Jumaat bersempena dengan sambutan berkenaan juga akan diadakan di Masjid Negara, manakala Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan akan diadakan pada 2 Jun.
-- BERNAMA