EKONOMI

INDEKS HARGA PENGELUAR MALAYSIA TURUN 3.4 PERATUS PADA APRIL 2025

28/05/2025 12:16 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Indeks Harga Pengeluar (IHPR) Malaysia yang mengukur perubahan harga di peringkat pengeluar, terus menurun 3.4 peratus pada April 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini berkata ia disebabkan oleh penurunan dalam pengekstrakan petroleum mentah (-19.8 peratus) dan pengekstrakan gas asli (-11.6 peratus).

Sektor Pembuatan juga mencatatkan penurunan 2.6 peratus (Mac 2025: -1.8%) dengan penyusutan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-15.7 peratus).

Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan merekodkan peningkatan sederhana 2.6 peratus, disokong terutamanya oleh subsektor penanaman tanaman kekal (5.9 peratus).

Sektor bekalan elektrik dan gas mencatatkan penurunan marginal 0.6 peratus, manakala sektor bekalan air mencatatkan peningkatan perlahan 0.9 peratus.

Pada asas bulan ke bulan, IHPR Pengeluaran Tempatan merosot 1.0 peratus pada April 2025 berbanding penurunan 0.6 peratus pada Mac 2025.

“Sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan penurunan 6.0 peratus, disebabkan oleh subsektor penanaman tanaman kekal yang susut 8.1 peratus,” kata Mohd Uzir.

Sektor Perlombongan turut susut 1.2 peratus, disebabkan oleh pengekstrakan petroleum mentah (-3.6 peratus), pada masa sama, sektor pembuatan menguncup 0.5 peratus dengan penurunan dalam pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-2.0 peratus) dan pembuatan produk makanan (-1.0 peratus).

Bagaimanapun, sektor bekalan elektrik dan gas meningkat 0.3 peratus, manakala sektor bekalan air mencatatkan peningkatan 1.3 peratus, katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan