KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu beralih daripada terlalu bergantung terhadap perdagangan kepada negara dipacu teknologi dengan menumpukan pembangunan penyelesaian bagi masalah kehidupan sebenar yang dipacu oleh industri semikonduktor serta penyepaduan teknologi dron.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong berkata anjakan sedemikian penting berikutan realiti dunia semasa yang berdepan cabaran besar perdagangan global.
Justeru, beliau menyifatkan dron sebagai pemangkin penting dalam transformasi di serata sektor ekonomi, khususnya apabila dihubungkan dengan industri semikonduktor.
Seiring perkembangan teknologi dron yang efisyen dan penting, Malaysia sewajarnya memainkan peranan aktif dalam evolusi teknologi berkenaan, katanya.
“Pemikiran kita tidak harus terhad kepada penjualan dron semata-mata. Kita sebaliknya perlu menyoal bagaimana untuk berganjak daripada menjual dron kepada menerimaguna serta memanfaatkannya dalam pelbagai cara baharu.
“Dron misalnya boleh dihubungan dengan semikonduktor, apalagi Malaysia mempunyai industri semikonduktor yang menarik dan sofistikated,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis prapelancaran DronTech Asia 2025 di sini, hari ini.
Selain itu, Liew berkata acara seperti DroneTech Asia 2025 wajar menjadi pemangkin bagi menyuntik kesedaran untuk negara memandang serius terhadap kepentingan teknologi dron.
DronTech Asia 2025 yang dianjurkan bersama oleh Aerosea Exhibitions Sdn Bhd dan GML Exhibition (Thailand) Co Ltd, akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 30 September hingga 2 Oktober 2025.
Sementara itu, Pengerusi Aerosea Exhibitions Sdn Bhd Tan Sri Asmat Kamaludin dalam ucapannya berkata acara itu bakal menghimpunkan lebih 100 syarikat mewakil 15 negara selain dijangka menarik 5,000 pengunjung perdagangan.
“DronTech Asia 2025 akan mengetengahkan program seperti persidangan peringkat tinggi, ceramah teknikal oleh pakar industri, demonstrasi interaktif secara langsung serta pameran teknologi dron terkini,” katanya.
-- BERNAMA