EKONOMI

CIMA TAWAR GERAN RM590,000 BANGUNKAN KAJIAN KONKRIT MARIN MESRA ALAM SEKITAR

29/05/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA) memperuntukkan RM590,000 bagi pelaksanaan kajian untuk membangunkan penyelesaian konkrit  marin mesra alam sekitar.

Kajian ini akan diterajui oleh Pusat Kajian Samudera dan Pantai (CEMACS) di Universiti Sains Malaysia (USM), manakala CIMA akan menyumbang kepakarannya dalam teknologi hijau dan bahan binaan mampan bagi memastikan penyelesaian yang dibangunkan ini bukan sahaja bertanggungjawab ke atas alam sekitar, bahkan juga berdaya tahan.

Surat tawaran geran penyelidikan ini telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dalam satu majlis yang berlangsung di CEMACS, USM hari ini.

"Kerjasama ini merupakan bukti bahawa institusi pendidikan dan pemain industri boleh berkerjasama untuk membangunkan satu penyelesaian praktikal dan saintifik yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar, bukan sahaja melindungi ekosistem pantai dan menambah baik biodiversiti, malah memenuhi keperluan infrastruktur," katanya dalam satu kenyataan.

CIMA berkata projek ini bertujuan untuk membangunkan konkrit marin yang memberikan keseimbangan di antara keperluan alam sekitar dengan ketahanan struktur yang diperlukan bagi infrastruktur pantai.

"Ia merupakan langkah penting ke arah menyokong aspirasi Malaysia bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050, selari dengan komitmen iklim antarabangsa," katanya.

Penyelesaian yang dibangunkan daripada kajian ini dijangka akan digunapakai di seluruh negara sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan mampan, sekali gus mencerminkan komitmen CIMA ke arah menjayakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, terutamanya SDG13 (Tindakan Memerangi Perubahan Iklim), SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air), and SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur).

"Kami komited ke arah memupuk inovasi yang bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan iklim dan marin negara tetapi juga untuk membangunkan infrastruktur yang berdaya tahan dan mampu mendepani masa hadapan," kata Pengarah Urusan CIMA Hairol Azizi Tajudin.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan