KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih IHH Healthcare Bhd menyusut kepada RM514 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 daripada RM768 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelum itu.
Hasil bagi suku dalam tinjauan meningkat kepada RM6.29 bilion daripada RM5.96 bilion tahun lepas, dipacu oleh pertumbuhan dalam segmen hospital dan penjagaan kesihatan serta sumbangan daripada Parkway Life REIT (PLife REIT), kata syarika itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
"Hasil hospital dan penjagaan kesihatan dalam suku pertama tahun kewangan 2025 meningkat sebanyak 7.0 peratus kepada RM6.05 bilion, didorong oleh permintaan berterusan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti, kes pesakit yang lebih akut, dan pelarasan harga bagi menampung tekanan inflasi.
“Penggabungan Island Hospital, yang diambil alih pada November 2024, turut menyumbang kepada peningkatan hasil,” kata syarikat itu.
IHH Healthcare berkata hasil luaran PLife REIT bagi suku pertama tahun kewangan 2025 naik 15 peratus kepada RM45 juta, disokong oleh sumbangan daripada 11 hartanah rumah jagaan warga emas di Perancis yang diambil alih pada Disember 2024.
Syarikat itu berkata ia kekal berada dalam kedudukan kukuh berdasarkan rekod prestasi dalam menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti tinggi dan berdaya saing dari segi kos.
Dengan memanfaatkan sinergi operasi di seluruh rangkaian antarabangsa, IHH Healthcare yakin dapat mengekalkan kecekapan kos sambil terus komited terhadap penjagaan kesihatan berasaskan nilai.
“Meskipun berdepan cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik, kumpulan ini berada dalam kedudukan baik untuk menyesuaikan diri, disokong oleh asas perniagaan yang kukuh, inisiatif pertumbuhan strategik dan trend jangka panjang dalam sektor penjagaan kesihatan,” katanya.
-- BERNAMA