AM

PROJEK PEMBANGUNAN RM758 JUTA DI HOSPITAL P.PINANG PERKUKUH KESIHATAN AWAM - EXCO

30/05/2025 07:54 PM

GEORGE TOWN, 30 Mei (Bernama) -- Tiga projek pembangunan utama di Hospital Pulau Pinang (HPP) sedang dilaksanakan membabitkan peruntukan berjumlah RM758 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 bagi memperkukuh sistem kesihatan awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen berkata antara projek berkenaan membabitkan pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak bernilai RM307 juta dan kini telah mencapai kemajuan 34.35 peratus.

Beliau berkata blok baharu itu dijangka siap Jan 2026 dengan skop projek menggunakan kaedah reka dan bina secara tender terbuka merangkumi perobohan blok lama, pembinaan bangunan hospital lapan tingkat berkapasiti 329 katil serta tempat letak kereta 12 tingkat yang mempunyai 449 lot parkir.

“Terdapat lapan perkhidmatan utama di blok ini merangkumi perkhidmatan rawatan pesakit luar dan dalam, diagnosis dan rawatan, sokongan perubatan, bukan perubatan, unit pentadbiran dan perkhidmatan staf perubatan di samping kemudahan awam seperti kafeteria, taman permainan, surau dan lain-lain.

“Projek ini bukan sahaja membolehkan pemindahan perkhidmatan wanita dan kanak-kanak dari blok asal, malah mampu mengurangkan kesesakan dan menyelesaikan isu kekurangan tempat letak kereta,” katanya pada sidang media selepas meninjau kemajuan pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak HPP di sini hari ini.

Gooi berkata projek kedua yang sedang dalam pelaksanaan adalah pembinaan blok baharu Pusat Perkhidmatan Sel Stem bernilai RM23 juta yang kini mencapai kemajuan 10.19 peratus dan dijangka siap pada Mac 2027.

Beliau berkata projek berkenaan dilaksanakan menggunakan kaedah konvensional secara tender terbuka di bawah kawal selia Jabatan Kerja Raya (JKR), bertujuan menaik taraf perkhidmatan transplan sedia ada di HPP selain mewujudkan pusat sel stem yang komprehensif di bahagian utara Semenanjung.

“Projek ketiga pula melibatkan pembinaan blok Klinik Pakar dan Wad bernilai RM428 juta di bawah Rolling Plan 1 RMK-11. Projek ini dijangka siap Mei 2029 dan kini dalam fasa awal dengan kemajuan 3.33 peratus.

“Skop kerja merangkumi pembinaan blok 14 tingkat yang mengandungi ruang mekanikal di paras bawah tanah, tempat letak kereta di paras dua hingga tujuh, klinik pakar di paras satu hingga 11 serta wad pesakit di paras 12 hingga 14 dengan kapasiti 216 katil,” katanya.

Gooi berkata selepas semua projek itu siap, Jabatan Kecemasan akan dipindahkan ke kemudahan baharu itu, sekali gus meningkatkan kecekapan dan keselesaan rawatan kepada rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri terus komited untuk menyokong segala usaha memperkukuh jaringan kesihatan awam dan pada masa sama memastikan rakyat Pulau Pinang menerima perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, adil dan menyeluruh.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan