AM

TOURISM MALAYSIA KERJASAMA DENGAN AGODA PERTINGKAT KEMPEN VM2026

29/05/2025 12:35 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Tourism Malaysia menjalinkan kerjasama strategik dua tahun dengan platform pelancongan digital Agoda, bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama di Asia Tenggara, sejajar dengan kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Tourism Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa kerjasama itu dimeterai menerusi satu Memorandum Kolaborasi (MoC), dengan matlamat untuk memanfaatkan kekuatan digital Agoda dalam mempromosikan pelbagai tarikan unik Malaysia kepada khalayak global.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata menerusi inisiatif bersama itu, pelbagai kempen digital berfokus akan dilancarkan menggunakan platform dan saluran media sosial Agoda, bagi menampilkan keunikan pelancongan Malaysia, daripada kepelbagaian kulinari hingga ke keindahan alam semula jadinya hingga ke pentas pelancongan antarabangsa.

“Seiring dengan era pendigitalan, kami menghargai kerjasama ini bersama Agoda, sebuah platform digital global, dalam memanfaatkan kepakaran industri dan strategi promosi pelancongan inovatif mereka. Kami yakin kerjasama ini mampu menarik pelancong dan mencapai sasaran VM2026,” katanya.

Sementara itu, Agoda pula akan berkongsi pandangan luas mengenai trend pelancongan global, bagi membantu perancangan dasar Tourism Malaysia serta memperkukuh usaha promosi sedia ada, dengan fokus kepada pelancong antarabangsa dan domestik.

Kerjasama ini juga sejajar dengan sasaran agensi itu untuk menarik 45 juta pelancong antarabangsa pada tahun ini.

Pengarah Negara Agoda Malaysia Fabian Teja berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen Agoda untuk menghubungkan Malaysia dengan pelancong global, menerusi teknologi inovatif dan kandungan yang menarik.

“Kami teruja untuk bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam mengetengahkan pelbagai tarikan unik negara ini, termasuk hutan hujan tropika yang subur serta warisan budaya yang kaya,” katanya.

Kerjasama ini turut merangkumi bengkel bersama yang memberi tumpuan kepada tingkah laku pelancong dan amalan pelancongan lestari, yang bertujuan mempertingkatkan pengalaman pengguna serta membantu pelancong meneroka destinasi pelancongan Malaysia dengan lebih mendalam.

Kerjasama ini bukan sahaja menunjukkan komitmen Tourism Malaysia bersama Agoda dalam menjayakan kempen VM2026, malah menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan negara.

Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran pelancongan di Malaysia, orang ramai boleh melayari laman web Agoda atau memuat turun aplikasi mudah alihnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan