KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Lawatan rasmi Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao ke ibu pejabat Weststar Group mencerminkan komitmen bersama kumpulan itu dan kerajaan Timor-Leste untuk memperteguh kerjasama dua hala dalam penerbangan, perkhidmatan sokongan tenaga dan pembangunan ekonomi.
Pengarah Urusan kumpulan Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim berkata hubungan Weststar dengan Timor-Leste telah terjalin sejak 2014 melalui pembekalan 10 unit kenderaan kargo perkhidmatan am 4x4 kepada Angkatan Pertahanan Timor-Leste.
“Pada tahun ini, kami dengan bangganya telah memperluas operasi untuk menyediakan sokongan penerbangan sayap berputar dengan menempatkan dua helikopter AW189 berpangkalan di Dili, beroperasi di bawah kontrak dengan Santos di medan gas Bayu Undan,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan Gusmao ke ibu pejabat korporat kumpulan itu di sini hari ini.
Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang Weststar di rantau ini, syarikat itu kini bekerjasama dengan syarikat minyak dan gas nasional Timor-Leste Timor GAP untuk mengukuhkan lagi operasi di negara itu dengan memperkenalkan helikopter AW139.
Menurut kenyataan itu, fasa seterusnya bagi operasi syarikat akan merangkumi sokongan dalam perkhidmatan utiliti, orang kenamaan dan perubatan kecemasan (EMS)
“Weststar telah menjalankan dua misi EMS di Timor-Leste dengan satu daripadanya adalah penghormatan untuk melicinkan operasi pengangkutan udara bagi membawa mendiang Padre Domingos Maubere, pemimpin kerohanian yang sangat dihormati di negara itu.
“Langkah ini bukan sahaja mencerminkan keupayaan operasi kami, malah nilai kemanusiaan yang menjadi asas kepada misi kami,” kata Syed Azman.
Sementara itu, beliau berkata lawatan ke Weststar turut berperanan sebagai platform untuk mengiktiraf penyertaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN yang akan datang, satu pencapaian penting yang disokong sepenuhnya oleh Weststar.
"Kami berharap untuk melihat Timor-Leste berada dalam kedudukan sewajarnya dalam komuniti ASEAN. Weststar bersedia untuk menyokong peralihan ini dengan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan modal insan di rantau ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, anak syarikat kumpulan berkenaan, Weststar Aviation Services sedang mengembangkan operasi di Timor-Leste sebagai antara visi strategik yang lebih luas untuk mengukuhkan kehadiran syarikat di Asia Tenggara, dengan menumpukan kepada keselamatan, kecemerlangan perkhidmatan, dan pertumbuhan mampan dalam sektor tenaga dan penerbangan kerajaan.
-- BERNAMA