EKONOMI

UNTUNG BERSIH BANK ISLAM TURUN KEPADA RM126.27 JUTA BAGI SUKU PERTAMA

30/05/2025 04:37 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) mencatatkan keuntungan bersih RM126.27 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2025, turun 3.53 peratus daripada RM130.73 juta yang direkodkan pada suku sama tahun kewangan 2024.

Bank Islam menjelaskan keuntungan bersih lebih rendah itu ekoran elaun bersih lebih tinggi untuk rosot nilai bagi pembiayaan serta jumlah overhed yang lebih tinggi, walaupun angka itu telah diimbangi oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, perolehan meningkat kepada RM1.23 bilion daripada RM1.14 bilion bagi tempoh yang sama, tambahnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.

Bank itu memaklumkan pendapatan bersih kumpulan meningkat 9.0 peratus kepada RM673.5 juta pada suku pertama tahun kewangan 2025, didorong oleh peningkatan pendapatan berasaskan bukan dana sebanyak 50.3 peratus kepada RM133.6 juta.

Prestasi itu disokong oleh pendapatan fi dan komisen yang lebih tinggi serta keuntungan bersih lebih tinggi daripada urus niaga pertukaran mata wang asing di samping keuntungan bersih yang lebih tinggi daripada penjualan aset kewangan pada Nilai Saksama Melalui Untung atau Rugi  (FVTPL) dan Nilai Saksama Melalui Pendapatan Komprehensif Lain (FVOCI).

Sementara itu, jumlah overhed meningkat 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM385.2 juta, terutama disebabkan oleh perbelanjaan penubuhan yang lebih tinggi (+RM8.9 juta), perbelanjaan kakitangan (+RM6.2 juta) dan perbelanjaan pemasaran (+RM3.8 juta).

Pembiayaan kasar pula meningkat 6.0 peratus tahun ke tahun kepada RM71.8 bilion, manakala deposit pelanggan dan akaun pelaburan meningkat 5.5 peratus tahun ke tahun atau RM4.2 bilion kepada RM80.6 bilion.

Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata bank itu mencatatkan prestasi suku pertama tahun kewangan 2025 yang sederhana, dipacu oleh pertumbuhan strategik dan komitmen terhadap kemampanan.

“Sebagai institusi kewangan yang berpandangan jauh dan patuh syariah, kami terus berkembang sejajar dengan jangkaan pelanggan di samping memanfaatkan kemajuan teknologi dalam kewangan Islam.

“Tumpuan berterusan kami terhadap perbankan yang bertanggungjawab dan pertumbuhan mampan jangka masa panjang mengukuhkan kepimpinan Bank Islam dalam membentuk ekosistem kewangan yang lebih inklusif, berdaya tahan dan sedia untuk masa hadapan,” katanya.

Mengenai prospek, Mohd Muazzam berkata strategi pertumbuhan perniagaan Bank Islam bagi 2025 mengutamakan pengembangan Pengurusan Kekayaan, Ar-Rahnu dan perkhidmatan pertukaran mata wang asing, di samping mengukuhkan kerjasama dengan anak-anak syarikat iaitu BIMB Investment Management Bhd dan BIMB Securities Sdn Bhd.

Pada masa sama, Bank Islam akan terus meneruskan pemerolehan aset dalam sektor hijau, mampan dan pertumbuhan tinggi, menyelaraskan objektif perniagaannya dengan agenda kemampanan jangka masa panjangnya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan