EKONOMI

PERANCANGAN PELABURAN DIGITAL MALAYSIA CECAH RM59.1 BILION SETAKAT APRIL -- TENGKU ZAFRUL

28/05/2025 07:30 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Malaysia mempunyai perancangan pelaburan digital mencecah RM59.1 bilion setakat April 2025, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata unjuran penggunaan kuasa teknologi maklumat (IT) bagi perancangan ini melebihi 300 megawatt (MW).

“Dari 2021 hingga 2024, pelaburan yang diluluskan dalam pusat data dan pengkomputeran awan sahaja berjumlah RM113.8 bilion, dengan 23 projek utama dianggar menggunakan hampir 1,900 MW beban IT,” katanya menerusi ucapan perasmian beliau pada Jelajah Kecerdasan Buatan (AI) Microsoft 2025, di sini hari ini.

Tengku Zafrul berkata impak pelaburan Microsoft, bersama-sama dengan projek digital strategik lain, telah melonjakkan daya saing digital Malaysia ke tahap tertinggi di peringkat serantau.

“Ekosistem kecerdasan buatan (AI) Malaysia aktif, kita mempunyai lebih 140 penyedia penyelesaian AI tempatan dalam rangka kerja Digital Malaysia, menyediakan aplikasi dalam penjagaan kesihatan, pertanian, bandar dan pembuatan.

"Ekosistem dasar kita juga menyokong momentum ini. Kerajaan telah memperkenalkan insentif Pecutan Ekosistem Digital (Desac) untuk menarik infrastruktur digital yang berkualiti tinggi dan mampan," katanya.

Beliau berkata komitmen Microsoft sangat penting, seperti yang ditunjukkan menerusi inisiatif Projek Big Blue di Johor dan Projek Baby Blue di Cyberjaya, serta Inisiatif Bersama Malaysia bernilai US$1 bilion dan pengumuman GoSEA berjumlah US$2.2 bilion (US$1=RM4.23) baru-baru ini

“Ini adalah pelaburan bagi masa depan Malaysia, rakyat dan status negara sebagai hab AI dan digital serantau,” kata Tengku Zafrul.

Pada 2024, Malaysia meluluskan pelaburan digital baharu berjumlah RM133.3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan yang diluluskan dalam tempoh 2021-2024 sebanyak RM278 bilion merentas 23 projek utama, diteraju oleh pusat data dan infrastruktur awan, mewujudkan hampir 88,000 pekerjaan baharu dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju digital di ASEAN.

“Ekonomi digital Malaysia diunjur menyumbang 25.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) tahun ini, dengan unjuran pertumbuhan KDNK negara antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus.

“Matlamat kita berkait rapat dengan peranan kita sebagai pengerusi ASEAN pada 2025, yang memperjuangkan tema: ‘Memajukan ASEAN yang Berdaya Tahan, Inklusif dan Mampan,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan