KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC), dan China mengulangi semula komitmen untuk memperkukuh kerjasama merentasi pelbagai bidang di samping mengorak langkah ke arah masa depan yang aman, makmur dan saksama.
Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas sidang kemuncak sulung tiga pihak itu pada Selasa, para pemimpian mengulangi tekad kolektif untuk bekerjasama erat bagi meneroka potensi penuh perkongsian dan memastikan kerjasama memberi limpahan manfaat kepada rakyat serta komuniti.
Dalam aspek integrasi ekonomi, para pemimpin sepakat untuk meningkatkan daya tahan industri dan rantaian bekalan serta menggalakkan amalan perdagangan mampan bagi mencipta peluang ekonomi baharu dalam sektor seperti ekonomi digital, ekonomi hijau dan teknologi.
Mereka juga bersetuju untuk mempertimbangkan penubuhan sebuah majlis perniagaan serantau bagi memudahkan dialog antara komuniti perniagaan dalam menyokong peningkatan aliran perdagangan, pelaburan serta pembangunan rantaian nilai serantau.
Para pemimpin menyasarkan untuk memperhebat kesalinghubungan melalui kerjasama berkualiti tinggi di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan dan pembangunan infrastruktur mampan untuk menyokong kepelbagaian ekonomi, pertumbuhan, dan kemampanan jangka panjang.
Menurut kenyataan itu, para pemimpin bersetuju untuk memantapkan lagi kesepakatan dalam aspek keselamatan dan kemampanan tenaga melalui perkongsian ilmu serta kerjasama untuk bidang seperti tenaga boleh diperbaharui, tenaga bersih dan teknologi hijau.
Mereka juga berikrar menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui usaha bersama dalam tindakan perubahan iklim, pengurusan bencana, pemeliharaan biodiversiti, perlindungan marin, dan kawalan pencemaran.
Selain itu, mereka akan meneroka peluang dalam inovasi digital dan teknologi dengan membangunkan rangka kerja dan perkongsian bagi memajukan ekonomi digital, termasuk perdagangan digital, e-dagang, fintech, dan kecerdasan buatan (AI).
Mengenai bidang makanan dan pertanian, kenyataan bersama itu memaklumkan bahawa ketiga-tiga pihak bersetuju menerintis kerjasama dalam sektor makanan halal dan menyokong usaha memperkukuh keterjaminan makanan, kemajuan perdagangan makanan dan kolaborasi teknologi pertanian.
Mereka juga berhasrat untuk mempererat persefahaman dalam kalangan rakyat, antara lain melalui budaya, pendidikan dan pelancongan berkualiti tinggi.
Selain itu, para pemimpin sepakat untuk melaksanakan hasil perbincangan melalui inisiatif bersama dan mekanisme sedia ada.
-- BERNAMA