AM

MALAYSIA, BAHRAIN PERKUKUH HUBUNGAN MELALUI PERTUKARAN TUJUH MOU

27/05/2025 10:55 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Malaysia dan Bahrain hari ini mengukuhkan lagi hubungan persahabatan lama serta komitmen untuk mempertingkat kerjasama melalui pertukaran tujuh memorandum persefahaman (MoU).

Majlis pertukaran dokumen itu disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain Salman Hamad Al Khalifa, selepas mesyuarat dua hala mereka sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir di sini hari ini.

Mesyuarat tersebut turut menjadi platform untuk menilai kemajuan hubungan dua hala antara Malaysia dan Bahrain susulan lawatan Anwar ke Manama pada Februari lepas.

Antara bidang utama kerjasama yang dipersetujui merangkumi pelaburan dan perdagangan, kewangan dan perbankan Islam, pertahanan, industri halal, semikonduktor, pertanian dan agromakanan, serta aspek keterhubungan, khususnya dalam sektor pelancongan.

Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Antara MoU tersebut ialah Nota Penubuhan Mekanisme Konsultasi Politik, yang menginstitusikan dialog tetap antara kementerian luar kedua-dua negara.

Dalam bidang pengangkutan dan inovasi digital, Malaysia menerima dua sijil simbolik — Sijil Rakan Logistik Laut ke Udara Global dan Sijil Inisiatif Kedaulatan Data yang disampaikan kepada Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Kedua-dua sijil itu mengiktiraf kepimpinan Malaysia yang semakin menyerlah dalam sektor logistik dan tadbir urus digital.

Malaysia dan Bahrain turut bertukar dokumen berkaitan Kerjasama dalam Perancangan, Pembangunan dan Promosi Taman Perindustrian antara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi Negara Bahrain.

Kerjasama dua hala ini turut diperluas kepada bidang pentadbiran awam menerusi Kerjasama Pengurusan Sumber Manusia dalam Sektor Awam yang dimeterai antara Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan Kementerian Luar Bahrain, dengan penekanan kepada perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti dalam tadbir urus.

MoU lain yang turut ditandatangani termasuk dalam bidang pendidikan tinggi dengan Universiti Sains Malaysia dan Universiti Bahrain, serta antara Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Dewan Perniagaan dan Industri Bahrain (BCCI), yang bertujuan memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan