AM

BELIA ASEAN DESAK TINDAKAN SEGERA FOKUS LITERASI DIGITAL, TANGANI PERUBAHAN IKLIM

26/05/2025 10:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Golongan belia dari seluruh ASEAN menggesa tindakan segera diambil bagi memperkukuh literasi digital dan menangani perubahan iklim, yang dikenal pasti sebagai dua tonggak utama dalam mencapai pembangunan mampan dan mewujudkan masa depan yang lebih hijau.

Wakil belia Malaysia Izzat Afifi Abdul Hamid berkata isu berkenaan menerima maklum balas yang positif dan menggalakkan daripada para pemimpin ASEAN, yang menyuarakan harapan agar belia rantau ini memainkan peranan lebih proaktif dalam membentuk hala tuju pembangunan ASEAN, sejajar dengan Wawasan ASEAN 2045.

“Kami memberi tumpuan kepada pembangunan belia di rantau ini dalam satu kenyataan bersama yang disediakan oleh wakil belia ASEAN sejak Rabu lepas,” katanya kepada pemberita selepas sesi Keempat Perjumpaan Pemimpin ASEAN bersama Wakil Belia ASEAN yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini hari ini.

Izzat, yang juga Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), berkata kenyataan itu disambut baik oleh para pemimpin ASEAN yang memberikan respons positif terhadap cadangan yang dibangkitkan oleh para delegasi belia.

Dalam sesi yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pemimpin ASEAN dan wakil-wakil belia, Izzat Afifi Izzat membentangkan kenyataan bersama bertajuk “Youth for a Sustainable Future: Empowering Inclusion and Driving Change in ASEAN” yang merangkumi sembilan perkara utama bagi memperkasa pembangunan belia di seluruh rantau ini.

Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh serta Timbalan Menteri Adam Adli Abdul Halim.

Sementara itu, wakil Filipina Michelle Ann M. Villanueva dari Majlis Belia Kebangsaan Filipina menzahirkan penghargaan atas peluang untuk mengetengahkan suara belia ASEAN di peringkat serantau.

“Kami didengari, kami dihargai, dan ini satu pengalaman yang luar biasa kerana individu yang berada di kedudukan tertinggi — mereka yang terlibat dalam penggubalan dasar dan pembuatan keputusan untuk setiap negara ASEAN — hadir dan mendengar apa yang kami ingin suarakan,” katanya.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang dianjurkan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, menghimpunkan pemimpin negara anggota untuk membincangkan isu serantau serta merangka hala tuju blok itu pada masa depan.

Ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Sempena sidang kemuncak itu, dua sesi libat urus peringkat tinggi turut diadakan —Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pertama—bagi mengukuhkan kerjasama serantau dan antara serantau.

 -- BERNAMA

 

 

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan