Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 26 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong, menyifatkan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang bersemangat dan berkesan.
Wong yang berada di Malaysia sehingga Selasa bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, berkata Singapura akan terus bekerjasama rapat dengan Malaysia dalam usaha memperkukuh integrasi ASEAN.
“Sempat bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak ASEAN. Saya mengucapkan tahniah kepada beliau kerana mempengerusikan sidang kemuncak yang berjaya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Kedua-dua pemimpin turut menilai pelbagai isu dua hala, tambahnya.
Wong berkata beliau menantikan ketibaan Anwar ke Singapura hujung minggu ini sempena Dialog Shangri-La (SLD), sidang kemuncak pertahanan utama Asia.
Anwar dijadual menyampaikan Ucapan Khas sempena SLD itu yang akan berlangsung dari 30 Mei hingga 1 Jun.
Sementara itu, dalam satu hantaran berasingan, Wong berkata beliau telah mengadakan pertemuan yang membuahkan hasil dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di luar Sidang Kemuncak ASEAN.
Beliau berkata perbincangan meliputi perkembangan serantau dan global serta kepentingan ASEAN yang kukuh dan bersatu dalam menghadapi ketidaktentuan semasa.
“Kami juga menantikan kerjasama dua hala yang lebih erat. Hubungan jangka panjang antara Singapura dan Indonesia telah menjadi tunjang kestabilan dalam menghadapi cabaran geopolitik,” tambahnya.
-- BERNAMA