KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama-Xinhua) -- Perdana Menteri China Li Qiang pada Isnin menyatakan bahawa China berhasrat memperkukuh komunikasi dan kerjasama dengan negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) serta ASEAN bagi mempromosikan keamanan, kemakmuran dan kestabilan di Asia, sekali gus menyumbang secara positif ke arah mempertahankan kepentingan negara Selatan Global.
Sehubungan itu, kata beliau, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China merupakan satu peluang ke arah mencapai matlamat tersebut, lapor Xinhua.
Li menyatakan demikian semasa pertemuannya dengan Putera Mahkota Kuwait Sheikh Sabah Al-Khaled Al-Hamad Al-Sabah.
Perdana Menteri China itu tiba di Kuala Lumpur pada Isnin untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China.
Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk memperdalam kerjasama dengan Kuwait dalam bidang seperti tenaga, pelaburan, ekonomi hijau, ekonomi digital dan kecerdasan buatan, demi mewujudkan lebih banyak peluang yang saling menguntungkan.
China juga berikrar untuk bekerjasama dengan Kuwait bagi memperkukuh keserasian antara Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Visi Kuwait 2035.
-- BERNAMA-XINHUA