Daripada Kisho Kumari Sucedaram
HUANGSHAN, 5 Jun (Bernama) -- Malaysia berhasrat menjalin kerjasama strategik dengan Wilayah Anhui, China dalam sektor ekonomi digital, teknologi hijau dan minyak sawit di bawah rangka kerja Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) untuk memperluas kerjasama serantau yang berorientasikan masa depan.
Bekas Duta Khas Malaysia ke China Tan Kok Wai berkata RCEP telah mewujudkan platform yang kondusif untuk hubungan dua hala yang lebih baik, terutamanya dalam industri yang diterajui inovasi seperti e-dagang, kenderaan elektrik (EV), tenaga bersih dan infrastruktur digital.
“Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan syarikat di Anhui yang berpandangan ke hadapan untuk membentuk lembaran pembangunan berkualiti tinggi yang seterusnya,” katanya pada Forum Kerjasama Kerajaan Tempatan dan Bandar Persahabatan (Huangshan) RCEP 2025 yang diadakan di sini hari ini.
Kerjasama digital dan tenaga bersih menjadi tumpuan
Mengetengahkan usaha Malaysia untuk memperluas ekonomi digitalnya, Tan berkata Malaysia mengalu-alukan penyertaan daripada syarikat terkemuka di Anhui, termasuk Sungrow Power dan iFlytek, dalam projek berkaitan pusat data hijau dan pembangunan bandar pintar.
“Pulau Pinang dan Melaka kini sedang dibangunkan sebagai bandar pintar perintis dan Malaysia turut menyasarkan untuk menjadi hab data ASEAN - langkah yang boleh mendapat manfaat daripada kerjasama teknologi dengan inovator dari China,” katanya.
Beliau berkata mengukuhkan kerjasama antara Touch 'n Go dari Malaysia dan Alipay dari China akan turut mempercepat sistem pembayaran digital merentas sempadan, meningkatkan aliran perdagangan dan pelancongan.
Mengenai tenaga bersih, Tan berkata Malaysia menyasarkan sebagai hab EV serantau dan berharap dapat bekerjasama rapat dengan syarikat automotif terkemuka di Anhui seperti Chery Group, JAC Motors dan NIO.
“Bidang kerjasama yang dicadangkan termasuklah pembangunan rangkaian pengecasan EV di seluruh negara melalui kerjasama awam-swasta, mewujudkan pangkalan pembuatan kenderaan pemanduan sebelah kanan untuk digunakan di rantau ASEAN serta pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan bateri berteknologi tinggi,” katanya.
Tan, yang juga Penasihat Kehormat ASEAN United World Chinese Association, menyatakan bahawa Malaysia berminat untuk memanfaatkan kepakaran Gotion High-Tech dalam makmal bateri untuk membina ekosistem yang kukuh bagi mobiliti hijau.
Meningkatkan inovasi minyak sawit dan pertukaran teknologi pertanian
Sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, Tan berkata Malaysia berharap untuk menarik lebih banyak pelaburan dari China dalam pemprosesan hiliran dan inovasi produk minyak bertaraf tinggi.
Malaysia mengeksport minyak sawit dan produk berkaitan bernilai RM10.57 bilion ke China pada 2024, menyumbang lebih separuh daripada eksport komoditi pukalnya ke negara itu.
Beliau menggalakkan syarikat seperti COFCO Anhui untuk bekerjasama dengan pembekal Malaysia bagi meningkatkan kapasiti penapisan dan menembusi segmen bernilai tinggi pasaran China.
“Malaysia juga ingin memanfaatkan teknologi pertanian Anhui untuk menambah baik keupayaan pemprosesan buah tropika, terutamanya durian dan nanas, selain meningkatkan eksport produk khusus seperti sarang burung dan santan untuk memenuhi permintaan yang meningkat dari China,” katanya.
RCEP sebagai pemangkin perdagangan dan menaik taraf taman perindustrian
Mengenai RCEP, katanya rangka kerja itu, yang berkuat kuasa di Malaysia pada Mac 2022, telah membentuk semula aliran perdagangan serantau dan mengurangkan halangan dengan ketara.
Lebih 67.9 peratus daripada barangan dagangan antara Malaysia dan China kini menikmati tarif sifar, bukan sahaja dalam barangan pertanian dan perindustrian tradisional malah dalam sektor yang berkembang seperti perkhidmatan dan perdagangan digital.
Perdagangan dua hala antara China dan Malaysia mencecah US$212.04 bilion pada 2024, naik 11.4 peratus tahun ke tahun.
Tan berkata kajian oleh Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) mengunjurkan RCEP akan menyumbang sehingga 0.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030.
Beliau turut menggesa pertukaran budaya, pelancongan dan pendidikan yang lebih baik antara Malaysia dan Anhui selain mencadangkan laluan penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Hefei untuk menyokong pelancongan dan memudahkan perjalanan perniagaan.
Mengenai kerjasama perindustrian, Tan menekankan keperluan untuk menaik taraf Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan dan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou di bawah strategi ‘Twin Parks 2.0’.
“Fasa pembangunan seterusnya akan memberi tumpuan kepada mengukuhkan rantaian perindustrian rentas sempadan dalam sektor seperti EV, pemprosesan sarang burung dan komponen fotovoltan,” katanya.
Beliau turut menekankan perluasan Pelabuhan Kuantan untuk menampung kapal sehingga 180,000 tan, langkah yang akan meningkatkan kedudukannya sebagai kepentingan strategik di Koridor Baharu Darat-Laut China-ASEAN.
Bagi kejayaan jangka panjang, Tan menggesa syarikat memberi keutamaan kepada pengambilan tenaga kerja tempatan, mengamalkan standard alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh, melabur dalam pembuatan pintar serta terlibat dalam dialog antara pihak berkepentingan selain dasar untuk mengurus risiko politik dan kawal selia.
“Sempena meraikan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, kita diberi tanggungjawab untuk membina ‘50 tahun emas’ yang seterusnya,” katanya.
-- BERNAMA