EKONOMI

AKAUNTAN BERPERANAN PENTING PERTINGKAT AMALAN KEMAMPANAN SYARIKAT - AMIR HAMZAH

26/05/2025 07:03 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Akauntan berperanan penting untuk membimbing syarikat menambah baik amalan kemampanan terutama dalam tadbir urus, dengan memastikan pendedahan berkualiti tinggi dan boleh dipercayai sejajar dengan piawaian antarabangsa, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata memandangkan kemampanan menjadi teras kepada strategi perniagaan, akauntan menggalas tanggungjawab penting dalam mengintegrasikan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus  serta inisiatif kemampanan dalam strategi dan pelaporan korporat.

“Peranan ini meningkatkan ketelusan, menyokong tindakan iklim dan membantu mengemudi Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan berdaya tahan,” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA) 2025 di sini hari ini.

Amir Hamzah yang melancarkan persidangan itu berkata pada masa ini akauntan bukan sahaja sebagai pengurus kewangan malah mereka juga merupakan jaguh kemampanan.

“Dengan rangka kerja, keupayaan dan sokongan sewajarnya, anda berada dalam kedudukan baik untuk mendorong perubahan penting, memangkin pembiayaan hijau dan menyokong Malaysia ke arah masa depan rendah karbon dan inklusif seperti yang digariskan oleh pentadbiran MADANI,” katanya.

Menurutnya sokongan kemampanan profesion akauntan adalah selari dengan dasar negara seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Selain itu, Amir Hamzah berkata memastikan sistem percukaian yang adil dan menangani ekonomi tidak formal juga adalah penting bagi kemampanan fiskal berikutan akauntan turut menyumbang dalam pembangunan dasar dan mekanisme penguatkuasaan yang menggalakkan pematuhan dan keadilan.

“Menangani ketidakpatuhan dan ketidakcekapan sistemik dalam sistem cukai adalah keutamaan di bawah rangka kerja ekonomi MADANI.

“Usaha kerajaan untuk meluaskan asas cukai termasuk mengenakan cukai kepada ekonomi bayangan memerlukan akauntan untuk menyokong pematuhan cukai dan membantu perniagaan memahami dan memenuhi kewajipan cukai.

“Sokongan ini amat penting bagi meningkatkan kutipan cukai yang kritikal untuk membiayai perbelanjaan pembangunan negara dan pembaharuan jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Amir Hamzah berkata, berikutan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN, menyesuaikan piawaian serantau dan menggalakkan inisiatif seperti kelayakan Akauntan Profesional Bertauliah (CPA) ASEAN akan meningkatkan kerjasama rentas sempadan dan integrasi ekonomi.

“Akauntan boleh terus menyumbang dengan menyelaraskan amalan profesional mereka dengan rangka kerja serantau dan menyokong penerimagunaan piawaian jaminan kemampanan di seluruh ASEAN,” katanya.

Sementara itu, Persidangan Akauntan Antarabangsa MIA 2025 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada 26 dan 27 Mei bertemakan "Kepimpinan Kolaboratif Demi Masa Depan Mampan,"diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak ASEAN 2025.

Persidangan pada tahun ini menarik penyertaan hampir 3,800 delegasi yang hadir secara bersemuka dan maya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan