AM

LIPUTAN BEKALAN AIR SARAWAK KINI MENINGKAT 70.5 PERATUS - JULAIHI

26/05/2025 03:23 PM

KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- Liputan bekalan air di kawasan luar bandar Sarawak kini telah meningkat kepada 70.5 peratus berbanding 60.9 peratus pada tahun 2018, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi.

Beliau berkata bagi kawasan bandar pula, kadar liputan telah mencapai 99 peratus, menjadikan liputan keseluruhan bekalan air di negeri itu, berada pada tahap 85.4 peratus setakat ini.

“Kementerian saya kini sedang giat membangunkan sistem bekalan air merentasi seluruh Sarawak yang menghubungkan Wilayah Selatan, Tengah dan Utara,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Julaihi berkata bagi Wilayah Selatan yang meliputi bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman dan Betong, pelaksanaan sistem grid bekalan air melibatkan pembinaan dan naik taraf sembilan buah loji rawatan air utama, serta pemasangan saluran paip grid sepanjang anggaran 1,081 kilometer (km).

“Setakat ini, sebanyak 311km saluran paip telah siap dibina, manakala tambahan 770km sedang dan akan dilaksanakan bagi menghubungkan seluruh Wilayah Selatan ke Wilayah Tengah,” katanya.

Beliau berkata bagi wilayah tengah Sarawak yang merangkumi bahagian Sarikei, Sibu, Mukah dan Kapit, pembinaan dan naik taraf sebanyak 11 buah loji rawatan air utama sedang dijalankan bersama pemasangan saluran paip grid air sepanjang 1,143km.

“Sebanyak 125km paip telah siap di Wilayah Tengah, manakala tambahan 1,018km lagi sedang dan akan dibina untuk menghubungkan kawasan ini ke Wilayah Utara,” katanya, sambil menambah bahawa Bahagian Limbang dan Lawas akan dimasukkan dalam pelaksanaan projek selepas siapnya Jalan Sabah-Sarawak Link Road (SSLR).

Bagi sistem grid bekalan air di Wilayah Utara yang merangkumi Bahagian Bintulu, Miri dan Limbang, Julaihi berkata ia melibatkan pembinaan dan naik taraf 12 buah loji rawatan air utama, dan pemasangan saluran paip grid air sepanjang anggaran 569km.

“Setakat  ini, 23km saluran paip grid telah siap di Wilayah Utara, manakala 546km lagi sedang dan akan dilaksanakan. Dengan siapnya keseluruhan sistem grid ini kelak, liputan bekalan air di Sarawak akan lebih menyeluruh serta berdaya tahan, bagi menjamin kelestarian bekalan air untuk jangka masa panjang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan