KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi hos majlis makan malam untuk Menteri-Menteri Luar ASEAN, serta Timor-Leste, negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Majlis makan malam yang turut dihadiri Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn dan Setiausaha Agung GCC Jasem Mohamed Albudaiwi diadakan di Menara 2, Menara Berkembar Petronas, di sini malam ini.
Hadir sama, pegawai kanan dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Timor-Leste dan enam negara GCC, iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu.
Selepas majlis makan malam itu, Mohamad mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan, yang tiba di ibu negara pagi tadi untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang bakal berlangsung di sini minggu depan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan mesyuarat berkaitan, yang diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, dijangka membincangkan pelbagai isu mendesak pada peringkat serantau dan global, dengan krisis berterusan di Myanmar menjadi isu utama yang mendapat perhatian negara anggota ASEAN.
Edisi tahun ini menandakan kali kelima Malaysia menjadi pengerusi blok serantau itu selepas 1977, 1987, 2005, dan 2015.
Selain mesyuarat peringkat ASEAN, sidang kemuncak itu akan menyaksikan dua platform antara rantau yang penting, iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, mencerminkan peningkatan kerjasama antara Asia Tenggara dengan rakan strategik di Teluk dan China.
-- BERNAMA