KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Usai Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan bertemu skuad Harimau Malaya yang sedang menjalani latihan di Johor Bahru.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Anwar menitipkan kata-kata semangat kepada skuad kebangsaan itu yang bakal berdepan perlawanan penting dalam pusingan kelayakan akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam bulan depan.
“Seluruh rakyat Malaysia akan berdiri teguh di belakang kalian, memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi,” katanya.
Bulan lepas, pengendali skuad Harimau Malaya Peter Cklamovski berkata beliau yakin pasukannya memiliki keupayaan untuk mengecewakan Naga Emas dalam aksi penting Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun depan ini.
Malaysia tewas lima perlawanan menentang Vietnam dalam semua kejohanan termasuk pertemuan terkini yang berakhir dengan kekalahan 3-0 pada saingan peringkat kumpulan Piala ASEAN 2022 (sebelum ini dikenali sebagai Piala AFF).
-- BERNAMA