AM

190 PAWE AKTIF BANTU PERSIAP STATUS NEGARA TUA MENJELANG 2030

18/05/2025 10:06 AM

PAPAR, 18 Mei (Bernama) -- Sebanyak 190 Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) aktif melaksanakan pelbagai program sebagai persiapan negara menuju status negara tua menjelang 2030.

Ketua Pengarah JKM, Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, setiap PAWE menerima peruntukan sebanyak RM50,000 setahun daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi pelaksanaan aktiviti yang membabitkan keahlian pelbagai latar belakang.

“PAWE menjadi platform terbaik untuk warga emas berkumpul dan berkongsi pengalaman, malah keanggotaan daripada kalangan bekas penjawat awam, sektor swasta dan orang awam membantu mencetuskan idea yang bernas dalam pelaksanaan program,” katanya.

Antara aktiviti utama yang dilaksanakan termasuk pemeriksaan kesihatan, latihan fizikal bersesuaian serta program intergenerasi yang melibatkan penglibatan golongan muda dalam mempelajari kemahiran seperti kraftangan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Citra Minda Intergenerasi dan perasmian PAWE Kampung Benoni di sini, hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd. Ali yang juga Ahli Parlimen Papar.

Program berkenaan diadakan sempena Kembara Kasih KPWKM 2025 yang membabitkan dua zon utama di Sabah iaitu Zon 1 (Tuaran, Papar dan Penampang) dan Zon 2 (Lahad Datu, Kunak dan Tawau) dengan penyertaan pelbagai agensi kerajaan.

Che Murad Sayang berkata bermula tahun ini, JKM turut memperkenalkan PAWE tanpa premis dikenali PAWE@3A (Anywhere, Any Place, Any Time), yang memberi tumpuan kepada aktiviti pendampingan sosial dan pembangunan warga emas bersama komuniti setempat.

Beliau berkata setakat ini, terdapat 23 PAWE beroperasi di Sabah dengan keahlian 6,471 orang, manakala dua lagi akan dibuka di Kota Belud dan Pantai Dalit pada Oktober ini.

Sementara itu, Pengerusi PAWE Kampung Benoni, Pengiran Abdul Halim Pengiran Rambang, 71, berkata pusat tersebut yang mula beroperasi pada November lalu kini mempunyai kira-kira 155 ahli berdaftar.

Beliau yang juga pesara guru berkata pelbagai program telah dianjurkan termasuk seminar dan bengkel kemahiran serta menghargai kemudahan PAWE yang terletak berhampiran Masjid Jamek Assalam Benoni.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM Farah Adura Hamidi memaklumkan bahawa program Kembara Kasih yang julung kali diadakan di Sabah bertujuan mendekatkan perkhidmatan kementerian kepada rakyat, khususnya di kawasan pinggir bandar.

Katanya kementerian turut melancarkan bas bergerak bagi mengendalikan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) sebagai langkah membantu penduduk, khususnya dalam aspek kesihatan mental.

“Bas dan trak PSSS diserahkan kepada Yayasan Kebajikan Negara Sabah untuk dimanfaatkan secara berterusan oleh komuniti di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan