KOTA KINABALU, 17 Mei (Bernama) -- Hubungan baik antara PKR dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) perlu dijaga bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 (PRN17), kata Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri itu Datuk Mustapha Sakmud.
Mustapha, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, berkata walaupun PKR sudah memutuskan untuk bersama-sama Barisan Nasional (BN) pada PRN17, kerjasama dengan GRS akan dibincang secara lebih lanjut.
"Kita (PKR) ada mengadakan (perbincangan) secara tidak formal dengan GRS… saya tahu mereka faham dan tentang kerjasama itu, mereka bersedia namun GRS sudah menyatakan sekiranya Pakatan Harapan dan BN bekerjasama, mereka akan bertanding solo... kita biarkan pihak GRS putuskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera PRN17 PKR Sabah yang disempurnakan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan turut dihadiri Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, yang juga Naib Presiden PKR.
Mustapha juga berkata perbincangan lanjut antara PKR dan GRS akan dilaksana mengikut peraturan asas yang telah ditetapkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Apa yang penting ialah bagaimana kita mengekalkan pemerintahan kita... oleh itu, kita harus menyatukan semua orang Sabah seperti (model) Kerajaan Perpaduan pada masa ini," katanya.
-- BERNAMA