BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Penyambungan habitat hidupan liar terutamanya gajah melalui koridor ekologi antara langkah jangka panjang yang boleh dilaksanakan bagi menangani konflik manusia dengan haiwan mamalia itu, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata penubuhan koridor gajah di kawasan berhampiran habitat juga boleh dilaksanakan, termasuk di kawasan perladangan, tanah persendirian dan tanah berhutan.
Selain itu syarikat perladangan kelapa sawit juga perlu bekerjasama mewujudkan rangkaian mini koridor dalam ladang masing-masing.
“Penanaman sumber makanan semula jadi gajah di kawasan koridor (juga perlu dilaksanakan) bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tanaman komersial,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Nazmi turut mencadangkan pembentukan santuari gajah berkeluasan sekurang-kurangnya 10,000 hektar selain pemasangan lampu jalan di lokasi lintasan utama haiwan itu.
Bagaimanapun beliau berkata penyelesaian jangka panjang memerlukan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri memandangkan hutan yang menjadi habitat utama gajah di bawah bidang kuasa negeri.
Nik Nazmi berkata Kerajaan Persekutuan menyediakan insentif kewangan tambahan kepada kerajaan negeri bagi melindungi dan memulihara kawasan perlindungan di bawah Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT).
Beliau berkata sehingga kini RM800 juta telah disediakan di bawah EFT termasuk RM250 juta pada tahun ini dan pelaksanaannya menunjukkan hasil yang baik apabila 90,000 hektar kawasan perlindungan daratan diwartakan.
“Menerusi jumlah tersebut, terdapat peningkatan daripada segi keluasan Hutan Simpan Kekal (HSK) sebanyak lebih 14,000 hektar. Sungguhpun begitu, menangani isu ini memerlukan lebih daripada sekadar intervensi kewangan dan teknikal,” katanya.
Berhubung kematian seekor anak gajah akibat kemalangan dengan sebuah lori 10 tan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Ahad lepas, Nik Nazmi berkata ia bukan sekadar kemalangan tragis, tetapi mencerminkan cabaran besar dalam hubungan antara manusia dan alam, khususnya dalam usaha mengekalkan kelangsungan hidup hidupan liar.
Beliau berkata kajian pada 2016 mendapati kawasan bagi gajah berkeliaran berkurangan sebanyak 68 peratus akibat perubahan guna tanah untuk pertanian, perladangan serta pembangunan infrastruktur seperti jalan raya dan penempatan.
Berdasarkan kepada rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), 4,919 aduan konflik manusia dan gajah dilaporkan bagi tempoh 2020 hingga 2024, melibatkan kerugian harta dianggarkan berjumlah RM39.4 juta.
Dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, Nik Nazmi berkata lapan ekor gajah direkodkan mati akibat kemalangan jalan raya di Semenanjung Malaysia dengan tiga daripadanya berlaku dalam tahun ini.
-- BERNAMA