AM

PAPAR HARGA UBAT: KKM PERTIMBANG CADANGAN MMA GUNA PAKAI AKTA 586

13/05/2025 04:55 PM

PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia mempertimbang cadangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) agar inisiatif Pemaparan Harga Ubat dilaksana mengikut Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).

Menteri Kesihatan Datuk Dr Dzulkefly Ahmad berkata cadangan itu, yang merupakan antara perkara terkandung dalam memorandum MMA), telah mendapat perhatian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perdana Menteri mahu saya meneliti memorandum mereka dengan cermat dan saya telahpun mengambil perkara ini secara serius. 

“Apa yang boleh saya sebutkan ialah saya telah mengarahkan kepimpinan tertinggi KKM untuk meneliti kembali bagaimana kita boleh memenuhi permintaan, bersikap adil dan jika boleh kita pertimbangkan untuk letakkan perkara penandaan harga ubat di bawah Akta 586 yang berada di bawah kawalan KKM,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Bidan dan Hari Jururawat Peringkat Kebangsaan 2025 di sini.

Beliau berkata KKM sentiasa bersifat responsif dan mendengar setiap cadangan yang dikemukakan demi memperkasa sektor perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Selasa lepas, MMA mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula penggunaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) terhadap bidang perubatan khususnya berkaitan peraturan mewajibkan klinik swasta dan farmasi mempamerkan harga ubat-ubatan yang dikuatkuasakan awal bulan ini.

Menerusi memorandum itu, MMA menyokong penuh prinsip ketelusan dalam penetapan harga ubat namun menyatakan bahawa ia harus dilaksanakan mengikut Akta 586.

Pemaparan harga ubat, yang dikuatkuasakan bermula 1 Mei, dilaksanakan melalui perintah di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta 723.

Skop penandaan harga merangkumi semua ubat untuk kegunaan manusia sama ada ubat terkawal, ubat bebas atau produk kesihatan lain termasuk yang memerlukan preskripsi doktor, ubat tanpa preskripsi, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan ubat bancuhan.

Dzulkefly juga berkata semakan kadar yuran perundingan pegawai perubatan am swasta dijangka dibentang ke Kabinet selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Pada 3 Mei lepas, beliau memberi jaminan bahawa semakan kadar itu akan dimuktamad dalam tempoh sebulan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan