BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Windhoek pada Isnin menganjurkan edisi ketiga program Promosi Buah-Buahan dan Makanan, kali ini memperkenalkan buah-buahan premium tempatan yang popular kepada pasaran Namibia.
Antara buah-buahan tropika yang dipamerkan termasuk durian Musang King, mangga Harum Manis, nangka madu, jambu lohan dan limau bali, yang menambat selera kira-kira 200 tetamu yang hadir pada majlis itu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.
Kuasa Usaha Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Namibia Datuk Dr Mohamad Rameez Yahaya, berkata dalam satu kenyataan bahawa program itu menandakan langkah penting dalam usaha Malaysia memperkenalkan buah-buahan premium tempatan ke pasaran tempatan Namibia.
Beliau berkata inisiatif itu turut bertujuan mengukuhkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Namibia, khususnya dalam sektor pertanian, dengan membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Namibia menjadi pengedar buah-buahan dan produk makanan Malaysia di negara itu dan pasaran Afrika sekitarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa perbincangan sedang diadakan bersama pihak berkuasa pertanian Namibia dan pengedar yang berminat bagi membawa masuk buah-buahan lain.
Demonstrasi masakan menggunakan buah-buahan tropika turut diadakan semasa program tersebut.
Program pada Isnin itu meneruskan kejayaan dua edisi terdahulu yang telah dianjurkan pada Mei dan Julai 2024.
-- BERNAMA