KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Memorandum Persefahaman (MoU) antara syarikat produksi dan perfileman Malaysia Skop Productions dan Mandarin Motion Pictures dari Hong Kong boleh disifatkan sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh kerjasama perfileman serantau, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
Beliau berkata kerjasama itu amat signifikan kerana bukan sahaja menjadi pemangkin kepada hubungan industri filem antara Malaysia dan Hong Kong, malah merupakan inisiatif filem bersama pertama yang diumumkan susulan lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia, bulan lepas.
“Ia juga memperkukuhkan hubungan diplomatik dan ekonomi melalui pendekatan diplomasi budaya.
“Kerjasama strategik berkenaan turut mendapat sokongan pelaburan daripada syarikat berkaitan kerajaan China seperti Bauhinia Cultural Group (syarikat berkaitan kerajaan pelaburan filem) dan Sil-Metropole Organisation (syarikat yang menguruskan pelaburan filem), yang mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap potensi kreatif dan kualiti produksi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
MoU berkenaan merupakan hasil langsung daripada penyertaan delegasi Malaysia yang diketuai oleh FINAS ke Hong Kong Filmart pada Mac lepas, sekali gus membuahkan hasil melalui perjanjian penerbitan bersama untuk menghasilkan sebuah karya baharu bertaraf antarabangsa.
Azmir Saifuddin berkata inisiatif itu akan memberi manfaat besar kepada ekosistem industri filem negara melalui peluasan pasaran, pemindahan teknologi dan kemahiran, serta penjenamaan Malaysia sebagai destinasi penggambaran bertaraf dunia.
“Tambahan pula, projek ini turut disokong melalui insentif Film in Malaysia Incentive (FIMI) dengan pulangan tunai 30 peratus kepada produksi filem dan TV yang menjalankan penggambaran di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata kerjasama yang terjalin adalah selari dengan aspirasi Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang menekankan kepentingan kerjasama strategik, penglibatan pelaburan swasta, serta pembiayaan filem yang mampan dalam pembangunan industri kreatif nasional agar tidak hanya bergantung kepada dana kerajaan.
Azmir Saifuddin berkata FINAS yakin melalui kerjasama pelbagai pihak meliputi awam dan swasta, Malaysia mampu terus melangkah ke pentas global dengan lebih berani dan berkualiti.
Skop Productions dengan kerjasama Primeworks Studios (PWS) berjaya menghasilkan filem Blood Brothers: Bara Naga dengan kutipan RM45 juta dalam tempoh 11 hari ia ditayangkan di pawagam, manakala Mandarin Motion Pictures yang menghasilkan filem Ip Man sebanyak empat siri lakonan Donnie Yen, pelakon seni bela diri terkenal Hong Kong, turut berjaya merekodkan kutipan puluhan juta ringgit di Malaysia.
-- BERNAMA