KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak seharusnya menganggap pelaksanaan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) sebagai beban, sebaliknya satu pelaburan dalam usaha memperkukuh budaya kerja selamat di negara ini.
Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH) Datuk Ahmad Fakhrul Anuar Ismail berkata cabaran utama ketika ini ialah untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan PKS terhadap keperluan KKP.
Beliau berkata syarikat besar secara umumnya telah menunjukkan tahap kesedaran lebih baik selepas pelbagai usaha advokasi, latihan dan pematuhan dilaksanakan, namun kini tumpuan perlu diberikan kepada PKS untuk melaksanakan KKP.
“Cabaran besar sekarang ialah stigma majikan yang memandang KKP sebagai beban, terutama apabila pekerja perlu dilepaskan untuk menghadiri latihan atau syarikat perlu menyediakan peralatan keselamatan.
“Perkara itu perlu dilihat sebagai pelaburan kerana pekerja yang selamat dan sihat boleh meningkatkan produktiviti, mengurangkan cuti sakit serta mengelakkan kerugian lebih besar kepada syarikat,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Bernama Radio, di sini hari ini.
Ahmad Fakhrul berkata tanggapan bahawa KKP sebagai beban perlu diubah memandangkan keselamatan pekerja adalah sebahagian daripada kelangsungan operasi perniagaan, khususnya bagi PKS yang mempunyai sumber tenaga kerja yang terhad.
Beliau berkata sekiranya berlaku kemalangan atau pekerja kerap mengambil cuti sakit, majikan tetap menanggung kerugian dari segi kos operasi, kehilangan produktiviti dan gangguan kepada perniagaan.
Katanya, usaha memperkukuh pelaksanaan KKP dalam kalangan PKS juga perlu digerakkan menerusi keperluan melantik penyelaras KKP atau Occupational Safety and Health (OSH) Coordinator bagi tempat kerja yang mempunyai lebih daripada lima pekerja.
“Kita mahu budaya keselamatan pekerjaan ini menyerap masuk dalam kalangan mereka melalui peranan OSH Coordinator,” katanya.
-- BERNAMA