KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Cadangan pembangunan Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) Malaysia-Thailand akan dirundingkan secara dua hala dengan Thailand sebelum dilaksanakan, kata Kementerian Ekonomi.
Menurut kementerian itu, rundingan itu akan diadakan menerusi platform Jawatankuasa Malaysia-Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan (JDS) atau platform bilateral lain yang bersesuaian.
“Dalam usaha Kerajaan Madani untuk merapatkan jurang wilayah melalui agenda pembangunan yang lebih berfokus, pelaksanaan zon ekonomi sempadan ini dijangka dapat memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan dan peningkatan aktiviti perniagaan setempat,” kata kementerian menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.
Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik) mengenai status Pengkalan Hulu sebagai hab sempadan atau BEZ Malaysia-Thailand.
Kementerian itu berkata satu kajian telah dilaksanakan menerusi Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan kini berada di peringkat penelitian serta libat urus dengan semua kementerian dan agensi berkaitan.
“Berdasarkan kajian terlibat, bagi negeri Perak, kawasan yang akan dirangkumi termasuk kawasan pintu sempadan strategik di Bukit Berapit, Pengkalan Hulu,” menurut kementerian.
Kementerian itu juga berkata kerajaan Thailand kini turut memuktamadkan kajian seumpamanya dengan kerjasama Bank Dunia bagi menilai potensi pembangunan wilayah di kawasan sempadannya dengan Malaysia.
-- BERNAMA