AM

7,787 Isi Rumah Raih Manfaat Program IPR Sejak Pelaksanaan Hampir Tiga Tahun

01/07/2026 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) telah memberi manfaat kepada kira-kira 7,787 isi rumah sejak pelaksanaannya selama hampir tiga tahun, menurut Kementerian Ekonomi.

Inisiatif yang menjadi pelengkap usaha pembasmian kemiskinan sedia ada, bertujuan menangani isu keterjaminan makanan, menyediakan peluang pekerjaan dan mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Kementerian itu memaklumkan IPR turut mendapat sambutan amat menggalakkan dan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

“Sebahagian peserta telah berjaya meraih pendapatan bulanan melebihi RM2,000 sekali gus membantu membawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan,” menurut kementerian menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), mengenai hasil penilaian terhadap kejayaan dan keberkesanan IPR selepas pelaksanaannya serta penggunaan Pangkalan Data Utama (PADU) dalam dasar ekonomi negara.

Mengenai PADU, kementerian itu memaklumkan sebanyak 204 agensi telah melaksanakan perkongsian dan pengintegrasian data secara berterusan dengan pangkalan berkenaan.

“Sehingga Jun 2026, sebanyak 27 permohonan perkongsian data daripada agensi kerajaan telah diluluskan bagi pelaksanaan program serta dasar yang bertujuan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam, kepentingan kesejahteraan rakyat, inovasi pendigitalan perkhidmatan serta kajian dan penyelidikan,” menurut kementerian itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575565