EKONOMI

Khazanah Sambut Baik Syor PAC Bagi Perkukuh Ekosistem Lapangan Terbang

01/07/2026 08:30 PM

KUALA LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) menyambut baik saranan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) serta akan terus memperkukuh ekosistem lapangan terbang negara ini.

Dalam kenyataan hari ini, dana kekayaan negara itu menyifatkan syor PAC sebagai mengukuhkan lagi objektif lebih meluas yang menjadi asas penswastaan MAHB iaitu bagi memperkukuh sektor penerbangan Malaysia dengan menambah baik aspek kesalinghubungan, meningkatkan pengalaman penumpang serta memantapkan lagi daya saing lapangan terbang Malaysia.

“Sebahagian besar daripada saranan ini seiringan dengan langkah yang telah dilaksanakan atau sedang diperkukuhkan oleh MAHB dan pihak berkepentingan lain yang relevan bagi memantapkan atau menambah baik prestasi operasi, libat urus pihak berkepentingan, jangkaan serta kualiti perkhidmatan di serata rangkaian lapangan terbang Malaysia,” menurutnya.

 Menjelaskan selanjutnya, Khazanah memaklumkan turut menyokong cadangan PAC, termasuk membabitkan meningkatkan struktur pelaporan dan kekal komited untuk mengekalkan tahap tinggi di segenap aspek, daripada pemerolehan dan pelaksanaan atau penyampaian projek sehingga pemantauan prestasi serta integriti.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata objektif menjadikan MAHB sebagai sebuah syarikat persendirian adalah untuk mewujudkan persekitaran bagi transformasi jangka panjang dengan membolehkan pelaburan berterusan, kecemerlangan pengoperasian dan penambahbaikan berterusan di serata rangkaian lapangan terbang Malaysia.

Beliau turut menekankan kepentingan lapangan terbang serta kesalinghubungan yang kukuh sebagai pengupaya penting bagi aktiviti perdagangan, pelaburan, pelancongan dan perniagaan selain berperanan penting dalam mengukuhkan daya saing ekonomi Malaysia sebagai sebuah negara dalam rantau yang kian kompetitif.

Selain itu, Amirul Feisal berkata tugas seterusnya bagi MAHB adalah besar, malah transformasi yang berkekalan juga memerlukan masa.

“Kami yakin dengan komitmen MAHB untuk mendapatkan panduan daripada amalan terbaik global selain memanfaatkan kepakaran antarabangsa sambil meneruskan usaha penambahbaikan berterusan dengan disiplin serta secara konsisten,” katanya.

Terdahulu, PAC telah mengesyorkan antara lainnya pegangan saham tempatan dalam MAHB oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikekalkan sekurang-kurangnya pada paras 70 peratus bagi memastikan kawalan strategik negara terus terpelihara.

PAC turut mengesyorkan sebarang perubahan terhadap struktur pemilikan ekuiti atau pelupusan aset strategik MAHB pada masa hadapan turut mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri secara telus.

MAHB turut disyorkan memperkukuh kerjasama strategik bersepadu bersama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Komunikasi bagi menyelaras pembangunan industri penerbangan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2575518