MANJUNG, 1 Julai (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmennya terhadap agenda kelestarian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam memacu aspirasi negara mencapai Net Zero 2050 menerusi program penanaman 25,000 pokok bakau di Hutan Paya Bakau Tanjung Burung, Pantai Remis, di sini.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata program di bawah inisiatif My Brighter Green Initiative (MBGI) itu bukan sahaja bertujuan memulihara ekosistem hutan paya bakau malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan ekosistem pesisir, biodiversiti dan penglibatan komuniti dalam agenda kelestarian.
“Melalui penanaman pokok bakau ini, kita dapat meningkatkan kapasiti penyerapan karbon, mengurangkan hakisan pantai dan pada masa yang sama memulihkan ekosistem yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan seperti ikan dan ketam.
“Selain itu, pemuliharaan hutan bakau juga selari dengan kedudukan beberapa stesen jana kuasa TNB yang terletak di kawasan pesisir pantai, termasuk Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah (Janamanjung), sekali gus membantu melindungi kawasan pantai daripada kesan hakisan,” katanya kepada Bernama pada Program MBGI 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perhutanan Negeri Perak Azni Rahman A. Wahid, Pengarah Eksekutif Malaysian Nature Society I. S. Shanmugaraj dan Ketua Pegawai Kelestarian TNB Leo Pui Yong.
Program itu turut melibatkan penyertaan kira-kira 70 pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Agama Rakyat Tarbiyyatul Ajyal, Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Idris, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tit Bin dan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Pengkalan Baru, bersama warga kerja TNB, komuniti setempat serta pelbagai agensi dan pihak berkepentingan dalam aktiviti penanaman pokok bakau.
Shamsul berkata keunikan MBGI ialah penglibatan aktif komuniti setempat, pelajar, agensi kerajaan dan kerajaan negeri bagi memupuk kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
“Kita mahu generasi muda memahami kepentingan menjaga alam sekitar sejak awal kerana mereka pewaris yang akan meneruskan usaha kelestarian ini pada masa hadapan.
“Dalam pada itu, sebagai peneraju utiliti tenaga negara, TNB tidak hanya mahu dikenali sebagai pembekal elektrik, sebaliknya sebuah organisasi yang turut mengutamakan aspek ESG, pembangunan modal insan, tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan penglibatan komuniti,” katanya.
Program berkenaan turut dilaksanakan di lima lokasi lain iaitu Kubang Badak, Langkawi; Tanjung Tuan, Melaka; Jimah, Negeri Sembilan; Nibong Tebal, Pulau Pinang; dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Selangor.
Melalui MBGI 2026, TNB akan menanam 40,000 pokok di enam lokasi, yang dijangka menyerap 67 tan setara karbon dioksida (tCO₂e) setahun, bersamaan kira-kira perjalanan sejauh 249,100 km oleh sebuah kereta petrol.
Bersempena program itu, TNB turut menyalurkan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM60,000 kepada komuniti setempat, merangkumi RM50,000 kepada lima sekolah iaitu SK Panchor, SJK (T) Pengkalan Baru, SJK (C) Tit Bin, SMK Dato' Idris dan SMAR Tarbiyyatul Ajyal bagi bantuan peralatan serta program pembelajaran, selain RM10,000 kepada Masjid Al-Aliah, Pantai Remis untuk menyokong program pengimarahan masjid.
Selain itu, sepanjang tempoh 2017 hingga 2025, TNB telah menanam hampir 200,000 pokok di seluruh negara yang berpotensi menyerap sekitar 3,400 tan CO₂e setahun bersamaan penggunaan elektrik tahunan hampir 650 buah rumah.
Sementara itu, Azni Rahman berkata pihaknya menyifatkan program MBGI 2026 anjuran TNB sebagai antara inisiatif sektor korporat yang signifikan dalam menyokong agenda pemuliharaan hutan bakau, penghijauan negara dan usaha mitigasi perubahan iklim.
“Inisiatif ini juga selari dengan pelaksanaan Kempen Penghijauan Malaysia 2.0 di bawah Forest Landscape Restoration (FLR) yang akan diteruskan pada tahun ini selepas sasaran Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 berjaya dicapai.
“Kalau kita tengok sokongan daripada pihak TNB ini amat baik apabila sektor korporat dapat membantu agensi kerajaan dengan inisiatif pemuliharaan alam sekitar dan juga biodiversiti. Malah TNB merupakan antara rakan strategik Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang secara konsisten bekerjasama melaksanakan pelbagai projek pemuliharaan setiap tahun,” katanya.
Seorang pelajar SJK (C) Tit Bin, Tiau Ka Yen, 12, berkata program itu merupakan pengalaman pertamanya menanam pokok bakau, sekali gus memberinya pengetahuan baharu mengenai fungsi dan kepentingan tumbuhan tersebut terhadap alam sekitar.
“Sebelum ini saya pernah dengar tentang pokok bakau, tetapi tidak pernah belajar secara mendalam. Hari ini saya dapat tahu pokok ini juga membantu mengurangkan kesan bencana seperti ombak besar dan tsunami,” katanya.
-- BERNAMA