ARAU, 1 Julai (Bernama) -- Penglibatan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini dalam Projek Penternakan Belut Komersial Geran Sejati MADANI, membuktikan peranan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar melahirkan graduan, malah memperkasakan komuniti menerusi pemindahan ilmu dan teknologi.
Pengarah PTSS Khairul Anuar Ishak berkata projek itu, memberi peluang kepada pelajar mengaplikasikan ilmu dalam situasi sebenar melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, di samping membantu komuniti membangunkan perusahaan akuakultur yang berpotensi menjana pendapatan.
Beliau yang sebagai penyelaras projek itu berkata penglibatan PTSS sebagai institusi latihan dalam projek berkenaan, memperlihatkan kepakaran TVET dapat dimanfaatkan secara langsung bagi meningkatkan kapasiti komuniti menerusi latihan, bimbingan teknikal dan inovasi.
“Kerjasama ini turut mengukuhkan hubungan antara institusi pendidikan, kerajaan, industri dan komuniti dalam membangunkan ekonomi setempat secara mampan,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Projek Keusahawanan Sosial: Penternakan Belut Komersial Geran Sejati MADANI di sini hari ini.
Pelancaran disempurnakan Pengarah Pejabat Pembangunan Persekutuan Perlis, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Azlan Abdul Samat.
Khairul Anuar berkata PTSS akan mengurus keseluruhan pelaksanaan projek itu sepanjang tempoh enam bulan meliputi penyediaan infrastruktur, pembelian peralatan, benih, latihan dan pengurusan kewangan, sebelum perusahaan itu diserahkan sepenuhnya kepada komuniti untuk diusahakan sendiri.
Beliau berkata projek bernilai RM500,000 itu, melibatkan lima komuniti di bawah ICU JPM dengan setiap komuniti itu menerima 15,000 benih belut untuk diternak.
Khairul Anuar berkata setiap komuniti dianggarkan mampu menghasilkan kira-kira 5,000 kilogram belut selepas tempoh pembesaran lima hingga enam bulan, sebelum dipasarkan menerusi kaedah ladang kontrak, sekali gus mewujudkan sumber pendapatan baharu kepada penduduk setempat.
-- BERNAMA